Khamis, 22 Ogos 2019 | 2:12pm

Perolehan separuh pertama Media Prima RM535.9 juta

KUALA LUMPUR: Kumpulan media bersepadu sepenuhnya, Media Prima Bhd (Media Prima) merekodkan perolehan separuh pertama tahun ini berjumlah RM535.9 juta, berbanding RM623 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ia berikutan cabaran ekonomi dan operasi semasa yang memberi kesan kepada kumpulan secara keseluruhannya.

Kumpulan merekodkan kerugian bersih RM53.6 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM8.7 juta dalam tempoh separuh pertama 2018.

Perolehan pengiklanan tradisional bagi enam bulan menyusut sebanyak 19 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Penurunan itu sebahagiannya dikurangkan oleh pertumbuhan dalam perolehan segmen perdagangan kumpulan yang diterajui oleh segmen beli-belah rumah Media Prima.

CJ WOW SHOP kekal melonjak dengan perolehan meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM114.3 juta bagi tempoh separuh pertama 2019, berbanding RM96 juta bagi tempoh separuh pertama 2018.

Meskipun perolehan digital kumpulan bagi tempoh dikaji menurun secara marginal sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sebelumnya, Media Prima kekal sebagai peserta penting dalam alam digital, susulan pemilikan jenama baharu digital dan pendemokrasian kandungan dalam platform digital.

Kumpulan kekal berada dalam kedudukan ketiga di Malaysia, selepas Google dan Facebook, menerusi terma pencapaian audien digital dan berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pemimpin bagi kandungan dalam peralatan mudah alih di Malaysia dengan pelawat unik berjumlah 13.5 juta sebulan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata keputusan kumpulan bagi separuh pertama tahun ini mencerminkan cabaran yang memberi kesan kepada syarikat media di seluruh dunia.

“Di tengah-tengah keadaan ekonomi tidak memberangsangkan yang memberi impak kepada perbelanjaan pengiklanan, khususnya bagi perniagaan tradisional, kumpulan berjaya memulihkan keputusan suku kedua berbanding suku sebelum ini .

“Kami didorong oleh hasil daripada usaha-usaha yang telah dilaksanakan dan sekiranya tiada perkara yang tidak diduga berlaku, kumpulan berharap dapat mengekalkan momentum ini bagi suku seterusnya dalam tahun kewangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tempoh enam bulan dalam kajian, Media Prima terus mengembangkan keupayaan digital dan perdagangan menerusi semua platform dalam usaha untuk mencapai peluang lebih baik dan terus kekal dalam trend yang baru muncul.

Jenama dalam talian The New Straits Times Press (NSTP) iaitu My Metro, BH Online dan NST Online, terus berada di kedudukan teratas dalam kalangan laman berita utama di Malaysia dengan purata pengguna sebulan masing-masing berjumlah 10.2 juta, 7.4 juta dan 3.6 juta ketika ini.

Berita Harian X