Jumaat, 16 Ogos 2019 | 8:25pm
Tan Sri Tony Fernandes. - Arkib NSTP

AirAsia susun semula barisan kepimpinan

SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes dilantik sebagai CEO airasia.com, platform perjalanan dan gaya hidup e-dagang syarikat penerbangan itu.

Dalam satu kenyataan, AirAsia berkata langkah itu adalah penyusunan semula kepimpinan bagi menyokong transformasinya menjadi syarikat platform perjalanan dan kewangan, selain membina airasia.com menjadi jenama gaya hidup.

“Tony akan turut berkhidmat sebagai CEO airasia.com dengan perhatian terarah untuk melantik CEO baharu, yang akan melapor kepadanya,” katanya.

Menyertai Tony adalah Ketua Pegawai Komersial (CCO) Kumpulan, Karen Chan, yang akan mengetuai semua fungsi komersial airasia.com dan Spencer Lee, yang berperanan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) airasia.com bagi menguruskan portfolio perniagaan dalam talian termasuk OURSHOP, AirAsia WiFi (ROKKI), kerjasama hotel dan lain-lain.

“Seorang Ketua Pegawai Produk airasia.com akan turut dilantik bagi mengetuai pasukan produk, manakala Ketua Perisian Kejuruteraan dan Teknologi (AASET) AirAsia, Elias Vafiadis akan terus menerajui kejuruteraan perisian, semuanya melapor kepada Tony secara interim,” katanya.

Sementara itu, AirAsia berkata Timbalan CEO (Penerbangan), Bo Lingam dilantik sebagai Presiden (Penerbangan) Kumpulan dan akan mengetuai AirAsia SEA (sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Global Shared Services).

“Beliau akan terus mengendalikan perniagaan teras syarikat penerbangan di samping memacu peningkatan khidmat pelanggan dan kecekapan kos menerusi pendigitalan, selain inisiatif One AirAsia,” katanya.

Ia menambah, Aireen Omar dilantik sebagai Presiden Kumpulan (RedBeat Ventures) dan akan memimpin unit modal teroka korporat. - BERNAMA

Berita Harian X