Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:33pm

Gading Kencana bida projek LSS3

KUALA LUMPUR: Gading Kencana Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui berhasrat membida Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga (LSS3) yang bakal menawarkan jumlah kapasiti pengeluaran tenaga sebanyak 500 megawatt (MW).

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Guntor Tobeng Mansur, berkata berdasarkan kemampuan dan pengalaman syarikat dalam industri tenaga solar, pihaknya optimis menjadi antara syarikat terpilih dalam projek terbabit.

“Menerusi rekod projek ladang solar yang diuruskan ketika ini, kami memberi banyak kelebihan kepada penduduk tempatan dengan menawarkan peluang pekerjaan dan juga menjadi penyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri melalui pembayaran cukai,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Gading Kencana yang memiliki dua ladang solar di Melaka dan Bidor, Perak adalah satu-satunya syarikat milik individu Bumiputera yang akan bersaing dalam bidaan projek LSS3 bersama syarikat utama tempatan dan pelabur dari China.

Guntor berkata, projek LSS3 yang ditutup bidaan pada pertengahan Ogos ini, bakal membabitkan pemilihan lima syarikat dengan tawaran 100 MW setiap satu.

“Bagi projek LSS3 berkapasiti 100 MW untuk satu lesen, ia bakal membabitkan kos sehingga RM500 juta,” katanya.

Beliau berkata, bagi projek terbaharu ini, syarikat bercadang untuk membeli tanah seluas 200 hektar di Perak yang menempatkan bekas lombong bijih timah sebagai usaha untuk memasang panel solar terapung di situ.

“Pada permukaan lombong terbiar itu, kami akan memasang panel solar dan di dalam lombong itu pula akan dipelihara ikan air tawar,” katanya.

Selain itu, Gading Kencana menjalin kerjasama dengan Kelantan Utilities Mubaaraka Holdings Sdn Bhd (KUM) untuk memasang solar PV sistem di loji rawatan air (LRA), medan telaga milik syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta di atas bumbung 40 bangunan kerajaan dan bangunan komersial di Kelantan.

Katanya, tujuan utama pemasangan panel solar itu adalah bagi mengurangkan bil elektrik yang tinggi di LRA dan medan telaga AKSB.

“Dianggarkan sebanyak 7.8 MW kapasiti akan dipasang di loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB yang mana ia akan memberi penjimatan bil elektrik kepada AKSB sekitar RM4 juta setahun bagi kesemua 19 loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB mengikut tarif kategori yang ditetapkan.

“Kami menjangkakan jumlah perolehan daripada projek ini sebanyak RM134 juta,” katanya.

335 dibaca
Berita Harian X