Rabu, 14 Ogos 2019 | 5:03pm
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (tengah) meraikan pencapaian 500,000 pelanggan CIMB Bank Philippines.

CIMB Bank Philippines tarik 500,000 pelanggan

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Philippines (CIMB Bank PH) menarik seramai 500,000 pelanggan, enam bulan selepas membuka pintunya kepada perniagaan di negara ini.

Dalam kenyataannya, bank itu berkata pencapaian itu berdasarkan cadangan penciptaan bersama yang kukuh dan kerjasama antara CIMB Bank dan GCash, platform e-bayaran utama di Filipina.

“CIMB Bank PH adalah antara bank yang berkembang dengan pesat di ASEAN, pencapaian yang baik, dan bukti kukuh mengenai apa yang boleh dicapai dalam rejim bank digital sahaja.

“Kami mendapat dorongan daripada itu dan akan terus melakukan inovasi untuk pelanggan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz.

Kerjasama itu sejajar dengan tonggak “Invest and Incubate” CIMB di bawah Forward23, pelan pertumbuhan jangka sederhana semasa kumpulan itu.

Susulan kerjasama berkenaan, CIMB Bank PH dan GCash turut mengumumkan akaun bank GSave akan ditawarkan secara eksklusif di platform GCash.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menjadikan suite tambahan produk perkhidmatan kewangan boleh didapati oleh pelanggan GCash pada masa akan datang. Perkhidmatan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GCash, Anthony Thomas, berkata syarikat akan terus menawarkan lebih banyak perkhidmatan yang inovatif untuk memenuhi keperluan perbankan dan kewangan rakyat Filipina, yang mahukan kehidupan yang lebih baik dari segi kewangan untuk keluarga mereka.

“Pengguna GSave sebanyak 500,000 orang kini menikmati faedah daripada akaun simpanan CIMB, yang boleh didapati sebagai ciri Save Money di aplikasi GCash.

“GSave menawarkan kadar faedah sebanyak tiga peratus setahun, iaitu lebih 10 kali lebih tinggi daripada kadar yang ditawarkan oleh kebanyakan bank Filipina,” katanya.

GSave tidak memerlukan deposit permulaan atau baki minimum dan tidak mengenakan caj perkhidmatan untuk urus niaga, mengurangkan halangan kepada rakyat Filipina untuk membuka dan mengekalkan akaun simpanan.

GCash adalah platform e-bayaran yang dimiliki oleh Mynt, syarikat pemula niaga FinTech Globe Telecom, Ayala Corporation dan Ant Financial, sekutu Alibaba Group milik Jack Ma.

-BERNAMA

Berita Harian X