Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:45am

Axis-REIT beli hartanah di Johor bernilai RM56 juta

KUALA LUMPUR: Amanah Pelaburan Hartanah Axis (Axis-REIT) akan membeli dua hartanah di Johor dengan harga RM55.8 juta secara tunai daripada Nusajaya Tech Park Sdn Bhd.

Syarikat itu berkata, pemegang amanahnya, RHB Trustees Bhd, memeterai dua perjanjian jual dan beli dengan Taman Teknologi Nusajaya bagi cadangan pembelian hartanah itu yang terletak di Iskandar Malaysia.

Hartanah pertama, berharga RM42.0 juta, mempunyai keluasan tanah 1.4674 hektar dan kini ia dipajak kepada syarikat kejuruteraan global, GKN Aerospace.

Demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Hartanah kedua, bernilai RM13.8 juta, mempunyai kawasan tanah seluas 0.6585 hektar.

Kedua-dua hartanah itu mempunyai nilai pasaran masing-masing sebanyak RM42 juta dan RM15.5 juta.

"Pembelian dua hartanah itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Axis-REIT selepas pembelian itu selesai yang dijangkakan pada akhir 2019," katanya.

Berita Harian X