Selasa, 13 Ogos 2019 | 3:42pm

Untung bersih suku kedua PetChem lebih rendah

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah RM1.12 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019, berbanding dengan RM1.44 bilion yang diperoleh pada suku sama tahun lalu.

Ia dicatatkan di tengah-tengah penurunan harga minyak mentah dan permintaan pasaran yang lebih lemah.

Pendapatan susut lapan peratus kepada RM4.34 bilion pada suku dikaji, berbanding RM4.73 bilion setahun lalu.

“Pendapatan lebih rendah sebahagian besarnya disebabkan oleh harga produk lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan lebih tinggi dan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” kata PetChem dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

PetChem berkata, pendapatan segmen olefin dan derivatif merosot kepada RM2.35 bilion pada suku kedua 2019 daripada RM2.75 bilion pada suku kedua 2018, manakala baja dan metanol merosot kepada RM1.98 bilion daripada RM2.0 bilion sebelumnya.

Kedua-dua segmen adalah lebih rendah berikutan penurunan harga produk, yang sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan lebih tinggi dan kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Menuju ke hadapan, PetChem berkata keputusan operasinya dijangka dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi global, pergerakan kadar pertukaran asing, kadar penggunaan kemudahan pengeluaran dan harga produk petrokimia, yang mempunyai kaitan tinggi dengan harga minyak mentah, khususnya segmen olefin dan derivatif.

“Penggunaan kemudahan pengeluaran kami berganting kepada aktiviti penyelenggaraan kilang dan sumber yang mencukupi selain bekalan utiliti.

“Kumpulan akan meneruskan program kecemerlangan operasi dan pengurusan hubungan pembekal bagi mengekalkan paras penggunaan kilang di atas penanda aras industri,” katanya.

153 dibaca
Berita Harian X