Selasa, 13 Ogos 2019 | 2:44pm

Sime Darby ambil alih pengedar Caterpillar di New Zealand

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd, menerusi anak syarikatnya, Sime Darby (NZ) Holdings Limited memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat bersama Gough Holdings Limited untuk mengambilalih Gough Group Limited.

Gough Group mempunyai hak pengedaran bersama perkhidmatan Caterpillar di New Zealand, di samping kepentingan dalam perniagaan pengangkutan dan pengendalian di New Zealand serta Australia.

Hak pengedaran New Zealand Caterpillar mempunyai sejarah panjang selama 90 tahun, menjadikannya salah satu pengedaran peralatan Caterpillar tertua di luar Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, perniagaan pengangkutan dan pengendalian Gough Group merangkumi industri pembinaan, infrastruktur, pengangkutan dan sistem tenaga, dengan mengedarkan jenama global premium seperti SAF, Palfinger dan WBCO di New Zealand serta Australia.

Gough Group ketika ini mempunyai kira-kira 950 kakitangan merentasi rangkaian 50 lokasi di New Zealand dan Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata transaksi Gough Group, yang akan menjadi urus niaga terbesar kepada syarikat sejak penstrukturan semulanya pada 2017, menyediakan peluang kepada kumpulan untuk mengukuhkan hubungan bersama Caterpillar.

Katanya, ia juga membolehkan Sime Darby memperoleh pendedahan kepada sektor pembinaan dan perhutanan di New Zealand, selain terus mengukuhkan kedudukan Sime Darby Industrial di rantau Asia Pasifik.

“Portfolio pengangkutan dan pengendalian Gough Group akan melengkapi perniagaan trak komersial Sime Darby Motors di New Zealand, membolehkan pertumbuhan dalam operasi selepas jualan selain meluaskan francais kami, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami di Australasia,” katanya dalam satu kenyataan.

Gough Group mengukuhkan pendapatannya kepada lebih 18 peratus pada 2018 kepada NZ$540 juta berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh peningkatan dalam jualan Caterpillar serta perniagaan pengangkutan dan pengendalian.

Di Australia, Sime Darby diwakili oleh Hastings Deering, salah satu pengedar utama Caterpillar, selain melalui hak pengedaran Sime Darby Motor untuk BMW, Volvo, Ferrari dan Rolls Royce di Brisbane serta Porsche di Sydney.

Di New Zealand, Sime Darby Motors beroperasi di bawah pengedaran Continental Cars dan City Nissan di Auckland yang mewakili jenama seperti BMW, Porsche, Volkswagen, Audi, Ferrari serta Nissan.

Ia juga mempunyai unit pengangkutan komersial yang mewakili jenama seperti Volvo, Hino, Mack serta UD Trucks.

Transaksi itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pinjaman bank dan tertakluk kepada kelulusan Pejabat Pelaburan Luar Negara New Zealand serta syarat-syarat biasa.

Urus niaga dijangka selesai menjelang 30 September ini.

199 dibaca
Berita Harian X