Jumaat, 2 Ogos 2019 | 3:38pm
Mustal berharap belia Sabah merebut peluang menyertai program VISTA PETRONAS. - Foto NSTP

VISTA beri faedah kepada belia Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 2,801 belia di negeri ini berjaya menamatkan latihan menerusi Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) yang dilaksanakan oleh PETRONAS.

Sejak diperkenalkan, PETRONAS sudah membelanjakan lebih daripada RM70 juta dan berjaya memberi faedah kepada lebih 10,000 belia di seluruh negara.

Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, Mustal Makmud, berkata VISTA yang dilaksanakan oleh PETRONAS dengan kerjasama beberapa institusi teknikal di negeri ini berjaya meningkatkan kemahiran belia dalam pelbagai bidang, khususnya industri minyak dan gas.

VISTA adalah program berimpak tinggi dan berjaya membuka peluang pekerjaan kepada pelatih lepasan program berkenaan.

Katanya, ILP Kota Kinabalu adalah satu daripada institusi teknikal yang mendapat faedah daripada program itu dan berjaya melahirkan 505 pelatih dengan 98 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan serta membuka perniagaan sendiri.

Di Sabah, program ini bermula pada 2007 di lima institusi teknikal, iaitu ILP Kota Kinabalu, Kolej Teknikal Yayasan Sabah, Institut Latihan Teknik dan Perdagangan Papar, Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu dan Pusat GIATMARA Kimanis.

“Saya gembira melihat pelatih lepasan program VISTA PETRONAS di ILP Kota Kinabalu ini mendapat peluang pekerjaan yang baik. Ia bukan setakat menyediakan laluan kerjaya, malah me reka meraih gaji yang baik. Maklum balas ini kami peroleh daripada bekas pelatih dan ibu bapa mereka,’’ katanya.

Di ILP Kota Kinabalu, PETRONAS memberikan tajaan dan bantuan latihan bagi kursus Pemasangan Paip Gas. Tempoh latihan ialah enam bulan, dengan 20 pelatih bagi setiap pengambilan.

Melalui program itu, PETRONAS menyediakan pelbagai bantuan kepada institusi berkenaan termasuk perkakasan, bahan guna habis, bantuan pembelajaran dan latihan serta sokongan tek- nikal dan khidmat nasihat.

Mustal berkata, selain kemahiran dalam pemasangan paip gas, pelatih di bawah program VISTA juga diberi latihan kemahiran tambahan melalui inisiatif ILP Kota Kinabalu sendiri.

“Kemahiran tambahan itu termasuk dalam bidang pengendalian perancah, kimpalan serta pemasangan paip tekanan tinggi.

“Inisiatif ini meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka. Daripada pemantauan yang kami lakukan, ada antara bekas pelatih ILP Kota Kinabalu berjaya mendapatkan pekerjaan di luar negara, termasuk di Brazil dan Vietnam. Ini satu pencapaian membanggakan,” katanya.

PETRONAS turut mengembangkan lagi program itu pada tahun ini melalui kerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia bagi menjalankan kursus pemasangan perancah sepenuh masa di Pusat Latihan Petroleum Kimanis, pusat latihan yang dikendalikan oleh Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP).

Program VISTA diperkenalkan oleh PETRONAS pada 1992 bagi program kimpalan di IKM Sg Petani, Kedah; IKM Jasin, Melaka dan IKM Pekan, Pahang bagi membantu projek Peninsular Gas Utilisation ketika itu. PETRONAS kemudian mengembangkannya ke Sabah dan Sarawak pada 2007, serta Johor dan Terengganu masing-masing pada 2009 dan 2010.

Ia bertujuan menyebarluaskan peluang latihan kepada belia di negeri terbabit dalam pelbagai bidang industri termasuk pemasangan paip gas, kimpalan, elektrikal, pengendalian perancah dan penyenggaraan bangunan. Kini program VISTA telahpun dilaksanakan di 26 institusi seluruh negara termask enam di Sabah.

Golongan belia yang berminat mengikuti kursus ini boleh mengemukakan permohonan dalam talian melalui Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia.

Permohonan dibuka tiga bulan sebelum sesi kemasukan Januari dan Julai setiap tahun. Pemohon hendaklah memiliki Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang mekanikal berkaitan.

133 dibaca
Berita Harian X