Jumaat, 26 Julai 2019 | 8:15pm

Anak syarikat Tan Chong Motor kerjasama dengan SAIC Motor International

KUALA LUMPUR: Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCMH) mengembangkan perniagaannya di Vietnam melalui kerjasama anak syarikatnya dengan SAIC Motor International Co Ltd (SMIL).

Dalam kenyataan, TCMH berkata, anak syarikat milik penuhnya, TC Services Vietnam Co Ltd, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SMIL hari ini untuk meningkatkan kedudukan kumpulan dalam industri automotif Vietnam.

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan bergabung untuk pemasangan, jualan dan pengedaran kenderaan pemasangan tempatan, selain import dan pengedaran unit import sepenuhnya daripada produk terpilih SMIL.

TC Services Vietnam terbabit dalam pengedaran runcit kereta, penyediaan penyelenggaraan automotif, perkhidmatan pembaikan dan alat ganti.

SMIL adalah milik penuh SAIC Motor Corporation Ltd, syarikat pembuatan dan reka bentuk automotif milik negara China, dan mempunyai ibu pejabat di Shanghai. - BERNAMA

Berita Harian X