Khamis, 25 Julai 2019 | 9:01pm
ECRL meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer. Projek itu dijangka siap pada Disember 2026. - Foto hiasan

MARIC rancang kerjasama dengan MRL-CCCC

KUALA LUMPUR: Perbadanan Industri Keretapi Malaysia (MARIC) merancang untuk bekerjasama dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) serta China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui satu sistem strategik dan perkongsian kejuruteraan.

MARIC dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerjasama itu, yang menumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu gerabak, kerja-kerja landasan dan sistem rel akan menyaksikan pihak yang terbabit menyumbang kepakaran serta perkhidmatan masing-masing bagi menyokong MRL-CCCC dan rakan kongsi teknologi mereka dalam pembinaan rel dan kemudian dalam operasi ECRL.

“Di bawah inisiatif Satu Jalur Satu Jalan, ECRL menjadi gerbang penting kepada MARIC untuk melibatkan diri dalam projek-projek keretapi merentas sempadan seperti Landasan Keretapi Singapura-Kunming.

"Pada masa yang sama, MARIC akan meningkatkan kemahiran serta keupayaan teknikalnya melalui kerjasama dalam rangkaian keretapi tolok antarabangsa pertamanya sepanjang 600 kilometer," kata badan penaung industri rel itu.

MARIC, yang mempunyai gabungan tenaga seramai 4,200 pekerja daripada 36 syarikat utama dengan pengalaman keseluruhan sejauh lebih 1600 km atau rangkaian utama antara bandar dan lebih daripada 200 km projek metro, adalah mampu dan bersedia untuk menyokong projek ECRL.

Setiausaha Kehormat, Haniff Ghazali, berkata MARIC mahu terbabit secara langsung di bawah syarikat gergasi China, EPCC (kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan) untuk menceburi bidang baharu dalam trend perjalanan serta transit.

"Anggota-anggota MARIC menunggu dan mengharapkan, satu langkah pra-kelayakan oleh MRL-CCCC yang dijadualkan pada awal tahun depan yang bertujuan membezakan kesediaan peneraju tempatan dan mengenalpasti kumpulan sub-kontraktor yang boleh dipercayai," katanya.

Projek ECRL dilancarkan semula hari ini berikutan beberapa siri rundingan dengan China yang menyaksikan projek tersebut dihidupkan pada kos sebanyak RM44 bilion, penurunan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal yang melangkaui RM65.5 bilion. - BERNAMA

164 dibaca
Berita Harian X