Rabu, 17 Julai 2019 | 1:12pm

Khazanah tidak jual saham CIMB

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menjelaskan ia tidak menjualkan saham CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), sebaliknya memindah milik saham-saham berkenaan.

Sayap pelaburan kerajaan itu dalam kenyataannya berkata, saham berkenaan dipindahmilik menurut perjanjian pemberian pinjaman sekuriti yang dimeterai oleh Khazanah dengan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, Credit Suisse Securities (Europe) Ltd dan JP Morgan Securities PLC berhubung bon boleh tukar yang diterbitkan baru-baru ini.

“Bon boleh ditukar berkenaan tidak membawa sebarang kesan penurunan nilai ke atas pendapatan sesaham CIMB.

“Penerbitan bon boleh tukar adalah sebahagian daripada aktiviti pembiayaan biasa yang dibuat Khazanah. Sejak tahun 2004, Khazanah telah menerbitkan sejumlah 10 bon boleh tukar,” kata kenyataan berkenaan.

Semalam media melaporkan, Khazanah menjual 335.70 juta saham miliknya dalam CIMB, yang mewakili 3.45 peratus pegangan dalam firma perbankan itu, bernilai RM1.75 bilion atau RM5.20 sesaham

Urus niaga itu, yang dilaporkan berdasar pengumuman CIMB kepada Bursa Malaysia itu berlaku pada Jumaat lalu.

Berita Harian X