Rabu, 10 Julai 2019 | 9:17pm

Unit Media Prima ambil alih saham dalam The Vocket

KUALA LUMPUR: Unit tidak langsung Media Prima Bhd, Rev Asia Holdings Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli saham bersyarat (SSPA) dengan Jaffa Sany Mohd Ariffin berkenaan cadangan pengambilalihan sebanyak 52 peratus saham dalam The Vocket Sdn Bhd.

Pada 24 April 2019, pihak terbabit telah memuktamadkan pusingan pertama rundingan selepas kedua-duanya bersetuju untuk menamatkan SSPA yang ditandatangani pada 12 Jun 2018 disebabkan oleh isu-isu kesahihan tertentu berhubung pemfailan dokumen kesetiausahaan tertentu.

Bagaimanapun, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan Rev Asia berkata - unit Media Prima Digital Sdn Bhd - telah memeterai SSPA untuk mengambil 520,000 saham biasa dalam The Vocket berjumlah RM2.6 juta.

Kedua-dua pihak juga telah menandatangani perjanjian pemegang saham bagi mengawal selia penyertaan ekuiti masing-masing, hak dan kewajipan sebagai pemegang saham, dan juga pengendalian hal ehwal dan perniagaan The Vocket.

Media Prima menegaskan bahawa cadangan pengambilan itu akan mengembangkan perniagaan digitalnya kerana The Vocket adalah pemilik laman berita digital Melayu-milenium yang berkembang pesat.

“Pengambilalihan yang dicadangkan dijangka memudahkan pertumbuhan berterusan kumpulan, berkembang maju,” katanya. -BERNAMA

Berita Harian X