Sabtu, 6 Julai 2019 | 12:00pm
AirAsia Bhd (AirAsia) tidak menolak mengambil alih Malaysia Airlines Bhd. - Foto REUTERS

AirAsia sedia ambil alih Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd (AirAsia) tidak menolak mengambil alih Malaysia Airlines Bhd jika diminta berbuat demikian oleh kerajaan dan bersesuaian dengan situasi semasa.

Seorang pegawai kanan syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, tidak dinafikan terdapat potensi besar dalam penggabungan ini kepada kedua-dua pihak jika dijalankan dengan strategi dan memfokuskan kepada landasan perniagaan sebenar.

Beberapa sumber industri penerbangan dan kerajaan sebelum ini pernah menyatakan pelan pemulihan dan penggabungan itu sudah lama berada dalam perancangan di antara Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham Malaysia Airlines dan AirAsia.

Perkara itu dilaporkan sudah lama berada dalam perancangan Khazanah dan kerajaan sendiri tidak mempunyai halangan kepada cadangan penggabungan itu.

“Saya merasakan AirAsia sendiri turut beranggapan jika penggabungan itu memberi kelebihan kepada semua pihak, perkara itu perlu diteruskan tetapi masalah yang kerap berlaku adalah apabila terdapat campur tangan dalaman dari Malaysia Airlines sendiri,” kata pegawai berkenaan yang enggan dikenali kepada BH baru-baru ini.

Krisis dan campur tangan dalaman dari Malaysia Airlines sebelum ini turut dikatakan sebagai punca pembatalan perjanjian pertukaran saham kedua-dua syarikat pada 8 Ogos 2011.

Perjanjian pertukaran saham itu tidak bertahan lama apabila ditamatkan lapan bulan kemudian disebabkan campur tangan dan perancangan luar jangkaan dari dalaman Malaysia Airlines sendiri.

Sumber berkata, jika cadangan gabungan itu terlaksana, perkara yang akan dilaksanakan terlebih dahulu adalah mengukuhkan pengurusan Malaysia Airlines dan menjadikan syarikat penerbangan negara itu sebagai sebuah syarikat penerbangan baharu.

Beliau menjelaskan, terlalu banyak masalah dalam Malaysia Airlines yang perlu ditangani terlebih dulu sebelum sebarang perancangan jangka masa panjang dijalankan.

“Jika tidak bagaimana ramai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines melepaskan jawatan sedangkan kebanyakannya terdiri daripada individu yang pakar dalam pemulihan syarikat penerbangan.

“Bukan individu biasa, sudah terbukti kemampuan mereka dalam meningkatkan kembali syarikat penerbangan yang hampir ‘musnah’. Ini kerana masalah dalaman syarikat penerbangan itu sendiri,” katanya.

Ketika ditanya adakah terdapat sebarang perbincangan di antara Khazanah dan AirAsia, beliau berkata perkara itu mungkin akan berlaku disebabkan kedudukan semasa Malaysia Airlines yang semakin meruncing.

“Jika difikirkan secara kasar, atas sebab apa AirAsia akan ambil alih syarikat penerbangan yang sedang dalam masalah, lebih baik AirAsia tumpu kepada perniagaannya sendiri.

“Namun, saya percaya jika AirAsia setuju dengan cadangan penggabungan itu, ia adalah untuk kepentingan negara sendiri dalam meningkatkan keupayaan syarikat penerbangan dari Malaysia,” katanya.

Dalam perjumpaan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan pengamal media sebelum ini, beliau pernah menyatakan berupaya membantu memulihkan Malaysia Airlines tetapi enggan memberi kata putus mengenainya.

Berita Harian X