Khamis, 4 Julai 2019 | 5:45pm

Kesas terima tawaran kerajaan ambil alih sekuriti

KUALA LUMPUR: Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) mengumumkan Kesas Holdings menerima sepenuhnya tawaran kerajaan untuk mengambil alih semua sekuriti Kesas Sdn Bhd.

Dalam kemas kini kepada antara persyaratan cadangan tawaran itu kepada Bursa Malaysia hari ini, Litrak berkata Lembaga Pengarah akan membuat pengumuman selanjutnya berkaitan baki tawaran yang dicadangkan dalam masa terdekat.

Gamuda Bhd dalam makluman kepada bursa saham itu sebelum ini berkata, Lembaga Pengarah Kesas Holdings telah membincangkan mengenai tawaran Kesas dan sebulat suara mendapati ia adil dan munasabah.

Kesas Holdings adalah anak syarikat 70 peratus milik Gamuda dan 30 peratus dipegang oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Dilaporkan kerajaan menawarkan untuk membayar kepada pemegang saham Litrak Holdings dan Gamuda sebanyak RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang.

Ia membabitkan LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong), Sprint (Sistem Penyuraian Trafik KL Barat), Kesas (Lebuhraya Shah Alam) dan Smart (Stormwater Management and Road Tunnel). - BERNAMA

106 dibaca
Berita Harian X