Rabu, 3 Julai 2019 | 5:50pm
Pesawat Air Arabia selamat mendarat hari ini pada majlis menyambut ketibaan pertama pesawat itu di KLIA, hari ini. - NSTP/Samadi Ahmad

Penerbangan Air Arabia tingkat pelancong Asia Barat

SEPANG: Penerbangan syarikat tambang rendah, Air Arabia dari Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Kuala Lumpur akan meningkatkan kedatangan pelancong Asia Barat ke negara ini menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM2020).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata ia membolehkan sasaran ketibaan 30 juta pelancong sempena TMM2020 dicapai, sekali gus menjana pendapatan kira-kira RM100 bilion daripada industri pelancongan.

Katanya, tahun lalu Malaysia mencatatkan RM3.1 bilion resit pelancongan dari Asia Barat melalui kehadiran 315,000 pelancong dengan pertambahan sebanyak 25 peratus.

"Pada suku ketiga tahun ini, lebih enam juta pelancong datang ke negara ini dan mencatatkan sebanyak RM21.4 bilion dalam resit pelancongan dengan jumlah peningkatan 2.7 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menerima penerbangan sulung Air Arabia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Arabia Adel Al Ali dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Penerbangan Air Arabia yang mendarat pada jam 8.20 pagi itu menggunakan pesawat Airbus A321 dengan kapasiti 215 penumpang dan mengambil masa tujuh jam masa penerbangan dari Lapangan Terbang Sharjah.

Air Arabia adalah syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia Barat dan Afrika Utara yang menghubungkan 170 destinasi di seluruh Asia Barat, Afrika Timur dan Eropah pada Arabian Travel Mart (ATM) 2019 di Dubai, baru-baru ini.

Mohamaddin berkata, penerbangan itu menjadi satu lagi kejayaan kementeriannya menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan luar sejak setahun lalu, sekali gus meningkatkan perhubungan laluan udara yang sebelum ini menjadi antara kekangan membawa lebih ramai pelancong sempena TMM2020.

Katanya, sebelum ini kementeriannya pernah menjalin kerjasama dengan empat syarikat penerbangan iaitu TUI Air, Indigo Airlines, Qatar Airways dan Condor Airlines bagi menggalakkan kesalinghubungan yang lebih baik antara Malaysia dan pelbagai negara di dunia.

"Condor Airlines akan menyokong operasi penerbangan sewa khas bagi laluan Frankfurt-Kuala Lumpur dan Indigo Airlines membawa pelancong dari India, manakala Qatar Airways bagi penerbangan terus dari Eropah ke Langkawi dan Kota Kinabalu," katanya.

Penerbangan Air Arabia akan beroperasi pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad yang akan berlepas dari KLIA pada jam 3.35 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah pada jam 6.50 pagi waktu tempatan.

Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah pula berlepas pada jam 2.55 petang waktu tempatan dan tiba Kuala Lumpur pada jam 2.25 pagi.

240 dibaca
Berita Harian X