Rabu, 26 Jun 2019 | 7:11pm

MASKargo terima pensijilan halal, sedia teroka pasaran bernilai AS$2 trilion

KUALA LUMPUR: Bahagian kargo Malaysia Airlines Bhd, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) bersedia untuk meneroka pasaran halal global bernilai AS$2 trilion setahun, berikutan kini keupayaan pengendalian penghantaran halalnya menerima pensijilan Halal Malaysia.

Pensijilan itu dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pasaran halal global kini bernilai hampir AS$2 trilion setahun. Saya gembira untuk berkongsi bahawa MASKargo kini sebahagian daripada rantaian logistik halal; bersedia dan mempunyai keupayaan untuk meneroka pasaran terbabit,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ibrahim Mohamed Salled dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bersama JAKIM, semua proses dikaji semula dan dipinda untuk memenuhi keperluan ketat dalam mengekalkan integriti Halal, selain menambah kemudahan tambahan untuk memenuhi keperluan mengekalkan pengasingan dan pemisahan antara penghantaran Halal dan bukan Halal.

“Kami kemungkinan besar adalah Pengendali Terminal Kargo yang pertama di dunia diklasifikasikan sebagai pengendali kargo Halal daripada Pengawal Selia Hal Ehwal Islam yang terkemuka dan diiktiraf di peringkat global untuk produk Halal,” kata Ibrahim.

Susulan pensijilan terbabit, MASkargo telah menghantar makanan beku sebanyak 720 kilogram ke Jepun di bawah perkhidmatan Logistik Halalnya melalui penerbangan MH 088 yang berlepas dari Kuala Lumpur pada 11.30 malam pada 24 Jun dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 7.40 pagi keesokan harinya.

Penghantaran itu ditempah oleh Nippon Express (Malaysia) Sdn Bhd.

Mengulas mengenai penghantaran terbabit, Pengurus Besar Bahagian Logistik Halal Nippon Express, Roslan

Osman, berkata rantaian bekalan halal bersepadu berjaya dilaksanakan melalui kerjasama tersebut antara pihak berkepentingan dalam ekosistem halal.

“Pensijilan halal menjadikan mengeksport produk ke pasaran Islam lebih mudah,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X