Khamis, 20 Jun 2019 | 3:19pm
Pengerusi, MR. D.I.Y. Group (M) Berhad, Datuk Azlam Shah Alias (tengah) bersama Pengarah Urusan, Adrian Ong (kanan) dan Pengarah, Brahmal Vasudevan pada pembukaan rasmi cawangan ke 500 MR. D.I.Y. di pusat membelibelah One Utama. - Foto Khairul Azhar Ahmad

MR.DIY sasar buka 100 cawangan setahun

PETALING JAYA: Peruncit perkakas rumah terbesar, MR.D.I.Y (M) Sdn Bhd, (MR.DIY) menyasarkan untuk membuka 100 cawangan setahun di negara ini.

Pengarah Urusannya, Adrian Ong berkata, sehingga kini, MR.DIY sudah membuka lebih 500 cawangan dengan yang terbaharu di pusat membeli-belah 1 Utama, di sini.

“Selepas cawangan di 1 Utama, kami merancang untuk membuka 10 lagi cawangan setiap bulan, antaranya di Cheras, Ipoh, Damansara Utama dan juga Hartamas.

“Pada masa ini, kami merekodkan kunjungan lebih tujuh juta pelanggan setiap bulan menerusi semua rangkaian kami serta pelanggan dalam talian,” katanya pada sidang media selepas pelancaran cawangan perdana di 1 Utama yang juga cawangan ke-500 MR.DIY di negara ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi MR.DIY, Datuk Azlam Shah dan Naib Presiden Pemasaran, Andy Chin.

Kesemua cawangan MR.DIY pada masa ini diuruskan sendiri oleh syarikat berkenaan dengan kerjasama peruncit besar dan pemilik pusat beli-belah yang terbabit.

Menurut laporan media, MR.DIY berada dalam landasan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada November depan dengan nilai antara RM10 bilion hingga RM11 bilion.

Bagaimanapun, Adrian enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan dan hanya mengulangi komitmen syarikat untuk muncul sebagai peruncit perkakas rumah terbesar di bukan saja di negara ini tetapi juga di Asia Pasifik.

“Selain operasi di negara ini, kami juga mempunyai cawangan di Thailand, Brunei dan Indonesia.

“Kami berterima kasih kepada pelanggan setia kami atas sokongan mereka dan bertekad untuk berkhidmat kepada pengguna di negara ini dengan menawarkan produk berkualiti pada harga terendah,” katanya.

MR.DIY menawarkan pilihan lebih 14,000 produk dalam 10 kategori termasuklah perkakasan; isi rumah; barangan elektrik; aksesori kereta; alat tulis dan sukan serta barangan kemas dan kosmetik.

260 dibaca
Berita Harian X