Rabu, 19 Jun 2019 | 11:52am
Pesawat A321neo AirAsia

Airasia pertingkat A320neo ke versi A321neo

PARIS: AirAsia akan menaik taraf pesawat Airbus dengan satu lorong pada masa akan datang, dengan menukar 253 tempahan untuk pesawat A320neo kepada versi A321neo yang lebih besar.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd, Datuk Kamarudin Meranun, berkata pertukaran itu akan membolehkan AirAsia menawarkan kapasiti yang lebih tinggi berdasarkan permintaan kukuh yang berterusan di seluruh rangkaiannya.

“Selama beberapa tahun kami mengkaji mengenai masa depan operasi kami dan kami berbangga menjadi pelanggan terbesar dunia bagi A321neo.

“Dengan pelbagai manfaat kecekapannya dan fleksibiliti operasi pesawat ini, A321neo akan menjadi tulang belakang operasi kami yang baharu memandangkan kami terus berkembang untuk memenuhi permintaan perjalanan udara yang meningkat di Asia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menandatangani perjanjian pembelian 200 unit enjin LEAP-1A, untuk kegunaan 100 pesawat Airbus A321neo syarikat penerbangan itu daripada CFM International.

Kamarudin berkata, ia akan memerlukan dua unit enjin untuk kegunaan setiap pesawat A321neo.

Menandatangani bagi pihak CFM International ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Gaël Méheust.

Secara keseluruhannya, AirAsia telah menempah 592 kumpulan pesawat A320.

Susulan naik taraf itu, AirAsia akan menjadi pelanggan terbesar dunia bagi A321neo dengan 353 pesawat telah ditempah.

Pada masa ini, AirAsia mempunyai 230 unit kumpulan pesawat A320, melakukan penerbangan dari habnya di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.

Pesawat A321neo akan mempunyai kapasiti maksimum sebanyak 244 tempat duduk berbanding A320 sedia ada AirAsia (180 tempat duduk) atau A320neo (186 tempat duduk).

“Ia akan membolehkan juruterbang A320 dan A320neo sedia ada kami untuk membawa jenis pesawat itu tanpa latihan tambahan.

“Selain itu, A321neo akan memberikan 20 peratus lebih cekap bahan api," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, CFM International berkata, AirAsia turut memperluaskan perjanjian Kadar Setiap Jam Penerbangan (RPFH) selama 20 tahun membabitkan seluruh 808 enjin LEAP-1A untuk gabungan jumlah nilai sebanyak AS$23.1 bilion pada harga senarai.

Di bawah perjanjian itu, CFM Services menjamin kos penyelenggaraan untuk enjin LEAP-1A AirAsia berdasarkan satu dolar setiap jam penerbangan enjin.

AirAsia telah menjadi pelanggan CFM hampir 20 tahun dan menjadi pengendali pesawat Airbus A320 terbesar di dunia.

-BERNAMA

90 dibaca
Berita Harian X