Rabu, 19 Jun 2019 | 8:45am

AirAsia tukar 253 pesanan kepada A321neo yang lebih besar

PARIS: Kumpulan AirAsia memutuskan untuk menukar 253 pesanan bagi pesawat Airbus A320neo kepada model A321neo yang lebih besar, menjadikan AirAsia sebagai pelanggan terbesar di dunia untuk A321neo.

Bagaimanapun, ia belum bersedia untuk menempah versi baru yang boleh terbang pada jarak yang lebih panjang.

"Perubahan itu akan membolehkan syarikat penerbangan itu menawarkan kapasiti yang lebih tinggi sebagai maklum balas kepada permintaan yang berterusan di seluruh rangkaiannya," kata Airbus dalam satu kenyataan.

Reuters pada bulan lalu melaporkan syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia itu sedang dalam rundingan untuk membeli versi baharu pesawat penumpang A321 boleh terbang lebih jauh, memetik dua sumber yang biasa dengan perkara itu.

Airbus melancarkan A321XLR, yang mempunyai jarak penerbangan sehingga 4,700 batu nautika, di Paris Airshow Isnin.

Ditanya di luar acara berhubung A321XLR, Pengerusi Eksekutif AirAsia, Kamarudin Meranun, berkata "rundingan sedang berlangsung."

Cabang penerbangan jarak jauh AirAsia, iaitu AirAsia X, tahun lalu memesan 34 pesawat jenis badan lebar A330neo yang belum lagi dimuktamadkan.

Sebahagian daripadanya boleh ditukar kepada pesawat jarak jauh berbadan sempit, kata ketua AirAsia X bagi operasi Malaysia pada November. - Reuters

Berita Harian X