Selasa, 18 Jun 2019 | 7:09pm
MENTERI Kerja Raya, Baru Bian dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican hadir pada majlis pelancaran kenderaan mekanisasi untuk penyelenggaraan lebuh raya PLUS dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan UEM Edgenta di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

UEM Edgenta bangunkan teknologi, kenderaan mekanisasi tingkatkan operasi

PETALING JAYA: UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta) sudah menggunakan RM60 juta daripada RM100 juta perbelanjaan modal (capex) untuk membangunkan teknologi dan kenderaan mekanisasi bagi menambah baik operasi penyelenggaraan di lebuh raya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican, berkata UEM Edgenta memperuntukkan capex sebanyak RM100 juta untuk tempoh tiga tahun bagi tujuan mekanisasi serta automasi selain memperkenalkan proses baharu bagi menambah baik kualiti perkhidmatan dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna lebuh raya.

"Daripada jumlah itu RM60 juta itu sudah digunakan termasuk RM20 juta bagi pelaburan pembelian 10 unit kenderaan mencuci jalan, satu unit pemotong rumput mekanisasi, satu unit kenderaan pelindung impak dan satu unit pemotong rumput bercerun kawalan jauh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran kenderaan mekanisasi untuk penyelenggaraan lebuh raya PLUS dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan UEM Edgenta di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Mengulas mengenai MoU berkenaan, Azmir berkata, setiap pihak yang terbabit akan menyumbang kepakaran mereka merangkumi aspek operasi, pengawal seliaan dan latihan, sekaligus memberi kesan positif selain meningkatkan piawaian keselamatan lebuh raya.

Katanya, selaku syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur, pihaknya sentiasa mengetengahkan teknologi terkini serta memperkenalkan ciri mekanisasi dan automasi dalam operasi demi keselamatan dan keselesaan pengguna serta pekerja.

Kenderaan pemotong rumput mekanisasi adalah pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang dipasangkan dengan kenderaan perlindung impak (IPV), manakala kenderaan mencuci jalan adalah pertama di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah, berkata menerusi penggunaan kenderaan mekanisasi itu, ia berupaya menjimatkan lebih 10 peratus kos penyelenggaraan lebuh raya di seluruh negara.

"Setakat ini, kos penyelenggaraan lebuh raya di negara ini dianggarkan lebih RM2 bilion setahun. Jadi, dengan teknologi dan mekanisasi baharu ini ia akan menjimatkan kos serta meningkatkan keselamatan pekerja dan pengguna di lebuh raya," katanya.

Berita Harian X