Selasa, 18 Jun 2019 | 11:00am

AirAsia X rancang terbang semula ke Eropah

PARIS: AirAsia X Bhd merancang meluaskan pasarannya dan tidak menolak kemungkinan untuk memasuki semula pasaran Eropah.

Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata sebelum syarikat itu membuat sebarang keputusan, ia perlu mempertimbang pelbagai faktor, termasuk kos operasi dan unjuran hasil.

“Kami juga perlu melihat gambaran menyeluruh sama ada ia dapat memenuhi cabaran seperti perubahan harga minyak, pelbagai cukai di lapangan terbang Eropah dan sebagainya.

“Sebagai contoh, pesawat yang terbang ke London dan Paris sebelum ini bukanlah pesawat yang tepat. Faktor kos adalah halangan utama ke pasaran berkenaan.

“Kami perlu realistik dalam membuat keputusan untuk jangka masa panjang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pesawat A330neo baharu di Pameran Udara Paris ke-53 di sini.

Rafidah berkata, dengan pesawat baharu yang menggunakan enjin yang lebih cekap, ia akan memberi fleksibiliti kepada syarikat untuk merancang strategi dan memperoleh pulangan yang lebih baik kepada pemegang sahamnya.

Mengenai bila pesawat itu akan beroperasi, beliau berkata lembaga pengarah akan membuat keputusan berdasarkan cadangan oleh pihak pengurusan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Nadda Buranasiri, berkata penyerahan pesawat A330neo akan dilakukan mengikut fasa.

“Kami mengharapkan Airbus dapat menyerahkan enam pesawat setahun,” katanya.

Pengendali penerbangan kos rendah dunia itu menempah 100 pesawat A330-900 pada kos RM122 bilion daripada pembuat pesawat Eropah, Airbus, dengan 66 pesawat adalah tempahan tetap manakala dua lagi pajakan.

Buranasiri berkata, syarikat itu akan mengambil pesawat pertama bulan depan manakala pesawat kedua akan dihantar pada Ogos, yang akan di tempatkan di habnya di Thailand, di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok.

“Kami belum memutuskan destinasi pesawat baharu akan terbang memandangkan kami masih mengkaji setiap pasaran untuk memahami permintaan dan bagaimana kami dapat memanfaatkannya.

“Kami berusaha untuk memastikan ia menguntungkan, dan pada masa yang sama, mengembirakan pemegang saham dan penumpang. Kami tidak membuat keuntungan berlebihan, namun ia perlu mempunyai jumlah (penumpang) yang mencukupi,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X