Rabu, 12 Jun 2019 | 2:51pm

Seacera pertikai tindakan anak syarikatnya

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah menerima pengisytiharan sukarela yang dibuat Duta Skyline Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Seacera Group Bhd (Seacera), bagi menyelesaikan cukai tertunggak bagi tahun taksiran 2009 dan 2012 berjumlah RM22.184 juta,

Bagaimanapun, Seacera dalam kenyataan yang difailkan di Bursa Malaysia hari ini, berkata tindakan itu tidak mendapat kelulusan dan dibantah Lembaga Pengarah Seacera.

Lembaga Pengarah Seacera mengumumkan bahawa ia pada 12 Jun lalu menerima surat daripada LHDN bertarikh 31 Mei 2019 menyatakan bahawa LHDN menerima pengisytiharan sukarela yang dibuat Duta Skyline bagi menyelesaikan cukai tertunggak untuk tahun taksiran 2009 dan 2012 berjumlah RM22.184 juta yang akan dibayar sebelum 1 Julai 2019.

Surat perisytiharan sukarela bertarikh 13 Mei 2019 itu katanya, ditanda tangani Datuk Ismail Othman, seorang daripada vendor dan pengarah Duta Nilai Holdings Sdn Bhd (Duta Nilai) dan Duta Skyline, tanpa kelulusan bertulis daripada Lembaga Pengarah Duta Skyline dan Seacera.

Ia berkata, jumlah cukai tambahan yang perlu dibayar sebanyak RM22.184 juta itu adalah bagi tahun taksiran 2009 dan 2012 yang berlaku sebelum pengambilalihan Duta Nilai oleh Seacera pada 16 November 2016.

Duta Nilai adalah syarikat induk Duta Skyline.

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah Seacera berpendapat jumlah tambahan dibayar sepenuhnya oleh vendor-vendor Duta Nilai secara peribadi berikutan cukai tambahan adalah pelanggaran jelas keatas jaminan vendor di bawah Fasal 9.2 dan perenggan 6.1 dan perenggan 6.2 Jadual 7 Perjanjian Jual Beli bertarikh 16 November 2016.

“Lembaga Pengarah sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung tindakan seterusnya yang akan diambil dan akan diumumkan nanti,” katanya.

Berita Harian X