Isnin, 3 Jun 2019 | 9:22am
Bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Rajab.

Pahamin Rajab calon sesuai Pengerusi MAG

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Rajab dilihat antara calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Aviation Group (MAG), yang juga syarikat induk Malaysia Airlines Bhd, demikian pandangan pemerhati industri penerbangan.

Kebanyakan pemerhati industri penerbangan berpendapat, calon yang sesuai untuk mengemudi syarikat penerbangan nasional itu adalah individu yang mempunyai pengalaman luas dalam industri penerbangan dan pada masa sama sangat dihormati komuniti penerbangan tempatan dan antarabangsa.

Pengasas Endau Analytics, Shukor Yusof, berkata secara peribadi, beliau berpandangan calon yang bakal dilantik menjadi Pengerusi MAG kelak perlu individu yang mempunyai kredibiliti dan integriti yang tinggi untuk memulihkan semula prestasi Malaysia Airlines.

Beliau berkata, calon yang lebih berusia dan kaya pengalaman penerbangan serta mempunyai latar belakang dunia korporat yang mantap layak untuk mengisi jawatan utama itu.

Katanya, ciri-ciri yang perlu ada pada calon yang bakal dilantik adalah seperti ciri-ciri yang ada pada bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

“Ketika ini jawatan Pengerusi (MAG) masih belum diisi. Pada hemat saya, Pengasas AirAsia, Datuk Pahamin Rajab adalah calon sesuai untuk mengisi jawatan itu.

“Beliau (Pahamin) mempunyai kredibiliti dan integriti yang tinggi di samping mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat dan industri penerbangan serta dihormati komuniti penerbangan,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai calon yang layak untuk dilantik menjadi Pengerusi MAG bagi menggantikan Tan Sri Md Nor Yusof yang menamatkan khidmat sebagai Pengerusi kumpulan selepas menyandangnya selama lapan tahun.

Pahamin yang juga Pengasas Bersama AirAsia juga pernah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan di Malaysia dalam tempoh lebih 30 tahun.

Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1974 hingga 1998.

Pahamin juga memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn Bhd dan Mediscreen Sdn Bhd.

MAG adalah organisasi penerbangan global dengan anak syarikat dan pelaburan ekuiti yang dibahagikan kepada empat segmen perniagaan yang berbeza iaitu Perkhidmatan Pengangkutan Udara, Perkhidmatan Darat, Pajakan Pesawat dan Pembangunan Bakat.

Segmen penyumbang terbesar MAG ialah Perkhidmatan Pengangkutan Udara yang menempatkan Malaysia Airlines Bhd, Firefly dan MASwings.

Berita Harian X