Jumaat, 31 Mei 2019 | 9:04am

Qualitas sasar buka 200 klinik menjelang 2022

PETALING JAYA: Qualitas Medical Group merancang mengembangkan rangkaian klinik globalnya dengan pembukaan 200 lagi klinik, menjadikan jumlahnya 500 buah klinik menjelang 2022.

Pengasas, Pengarah Urusan yang juga Pengerusinya, Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack, berkata syarikat itu akan memberi tumpuan pada pasaran Asia Tenggara bagi pertumbuhan baharu dan penembusan pasaran dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pasaran Vietnam akan menjadi kawasan seterusnya di Asia Tenggara, rancangan pengembangan fasa pertama Qualitas dengan sasaran untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan komprehensif di peringkat global.

"Apabila menilai pasaran yang berpotensi, kami mengambil kira pertimbangan negara itu dengan kuasa penduduk kelas pertengahan dan penjagaan kesihatan (perkhidmatan) seperti Vietnam, khususnya di bandar seperti Ho Chi Minh, Hanoi dan Da Nang,” katanya semasa taklimat kepada media berhubung unjuran perniagaan syarikat itu, di sini semalam.

Beliau berkata, Qualitas sedang memuktamadkan pengambilalihan pusat perubatan terkemuka di Ho Chi Minh.

"Kami mensasarkan untuk memiliki beberapa pusat perubatan khusus bagi menawarkan perkhidmatan kepada orang awam dan ekspatriat di Vietnam dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Selain Vietnam, Noorul Ameen berkata kumpulan itu juga menerokai pasaran baharu seperti Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.

Beliau berkata, cabaran yang wujud sejak sekian lama adalah lebih banyak permintaan daripada bekalan untuk kemudahan penjagaan kesihatan di Asia Tenggara.

Sehubungan itu, katanya Qualitas sedang mengembangkan rangkaian kemudahan penjagaan kesihatannya di rantau ini selain yang terdapat di Malaysia, Australia dan Singapura.

Syarikat itu kini mempunyai rangkaian 276 klinik pengamal am, satu pusat penjagaan ambulatori, 13 klinik pergigian dan 11 pusat pengimejan perubatan.

"Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri penjagaan kesihatan asas, kami terus memberi tumpuan kepada menawarkan perkhidmatan penjagaan pesakit luar yang berkualiti tinggi dengan Malaysia, Singapura, Australia dan seterusnya,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X