Khamis, 30 Mei 2019 | 6:04pm
Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) CJ WOW SHOP merekodkan 24 peratus peningkatan dalam keseluruhan jualan kepada RM54.5 juta pada suku pertama tahun kewangan 2019 daripada RM44.0 juta bagi suku sama tahun lalu.

Segmen beli belah di rumah pacu Media Prima

KUALA LUMPUR: Inisiatif perdagangan Media Prima Bhd yang diterajui oleh segmen beli belah di rumah, kekal mencatatkan pertumbuhan, meskipun industri media terus berdepan dengan cabaran dalam senario landskap ekonomi semasa.

Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) CJ WOW SHOP merekodkan 24 peratus peningkatan dalam keseluruhan jualan kepada RM54.5 juta pada suku pertama tahun kewangan 2019 daripada RM44.0 juta bagi suku sama tahun lalu.

Bagaimanapun, keadaan operasi dan ekonomi yang mencabar memberi kesan kepada prestasi keseluruhan kumpulan.

Media Prima mencatatkan perolehan RM239.1 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2019, berbanding RM280.7 juta pada suku sama 2018.

Kumpulan turut merekodkan kerugian selepas cukai RM42.8 juta pada suku dikaji berbanding RM23.0 juta pada suku pertama tahun lalu disebabkan penurunan pendapatan pengiklanan dan jualan akhbar.

Bagi segmen digital, Media Prima mencatatkan perolehan RM17.4 juta dalam suku pertama 2019, berbanding RM19.1 juta pada suku pertama tahun lalu disebabkan pertumbuhan perlahan daripada pengiklanan digital dan pemasaran digital pada awal tahun.

Mengulas mengenai prestasi berkenaan, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata sebagaimana bukti pada aliran sebelum ini, ia percaya bahawa keputusan ini tidak mencerminkan prestasi kumpulan bagi keseluruhan tahun kewangan.

“Suku pertama adalah tempoh yang mencabar bukan sahaja kepada sektor media disebabkan keadaan makro ekonomi yang tidak memuaskan, seperti sentimen pengguna yang lemah dan pertumbuhan kasar produk domestik yang rendah, memberi kesan kepada pelbagai industri.

“Dalam keadaan tidak menentu ini, kami menjangkakan prestasi lebih baik bagi suku akan datang tahun kewangan di mana kami menyesuaikan perniagaan dengan pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata perubahan struktur dalam sektor media akan terus mengganggu segmen tradisional.

“Namun begitu, jenama tradisional sedia ada akan terus menerajui peluang kepada sumber kewangan kukuh dan pencapaian lebih luas.

“Sementara kita terus memantau perniagaan tradisional, perolehan digital dan perdagangan akan kekal menjadi fokus utama pada tahun ini,” katanya.

Berita Harian X