Khamis, 30 Mei 2019 | 12:38pm

AirAsia bina aplikasi e-dagang mega

SEPANG: AirAsia Group Bhd sedang berbincang dengan rakan berpotensi untuk membina aplikasi e-dagang yang akan mengatasi saiz perniagaan penerbangannya, kata Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Aireen Omar.

Syarikat penerbangan tambang murah terbesar Asia Tenggara itu ketika ini meraih pendapatan kira-kira RM1 bilion hasil daripada enjin tempahannya.

Ia menjangkakan untuk menjana lebih 20 kali ganda apabila mengembangkannya menjadi aplikasi yang akan menawarkan barangan dan perkhidmatan gaya hidup.

“Ini akan menjadi lebih besar daripada syarikat penerbangan itu sendiri,” kata Aireen di pejabatnya di sini.

“Banyak yang anda boleh lakukan dalam hanya satu aplikasi dan itulah yang kami cuba lakukan dengan aplikasi perjalanan dan gaya hidup kami," katanya.

AirAsia, yang membawa 100 juta penumpang setiap tahun, mengukuhkan keupayaan digitalnya untuk memanfaatkan pasaran e-dagang serantau yang bakal meningkat tiga kali ganda kepada AS$240 bilion menjelang 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Tan Sri Tony Fernandes, bulan lalu.

Penerbangan premium, Singapore Airlines Ltd dan Cathay Pacific Airways Ltd telah pun beralih kepada penjualan bebas cukai untuk meningkatkan pendapatan, sementara aplikasi AirAsia juga akan menawarkan segala-galanya dari tempahan hotel ke produk kecantikan dan baucer makan malam.

Perniagaan digital mungkin akan berdiri dengan sendirinya dalam pada masa akan datang, kata Aireen, tanpa memberikan butiran.

Tony telah menyiapkan syarikat itu untuk memberi tumpuan kepada digital.

AirAsia telah menjual pesawat yang terdapat di syarikat pajakan dan melupuskan saham dalam operasi di lapangan.

Beliau juga telah menstruktur semula syarikat itu dengan menjadikan kumpulan pegangan pelaburan sebagai entiti yang disenaraikan dan memisahkan perniagaan syarikat penerbangan Malaysia.

Langkah itu dibuat ketika syarikat penerbangan berkenaan bergelut dengan peningkatan risiko kepada perniagaan syarikat penerbangannya, dari penutupan destinasi percutian Pulau Boracay dan bencana alam di Indonesia tahun lalu hinggalah langkah Malaysia mahu mengawal lonjakan harga pada musim puncak.

Pendapatan bersih AirAsia merosot 92 peratus pada suku pertama lalu berbanding suku sama tahun lalu, katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Syarikat itu kira-kira tiga tahun lalu menyedari bahawa ia kaya dengan data pengguna yang mahu diakses oleh banyak pihak, kata Aireen.

Ia merancang untuk menggunakan data berkenaan untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan dengan cara yang dikhususkan dan menyediakan sambungan Internet pada semua pesawatnya untuk menjual produk kepada penumpang semasa penerbangan.

Aplikasi baharu itu akan disatukan dengan program AirAsia BIG Loyalty, yang telah menjadi rakan kongsi dengan vendor dari Nike Inc. kepada Sephora untuk memberikan tawaran istimewa dan diskaun.

-Bloomberg

129 dibaca
Berita Harian X