Rabu, 29 Mei 2019 | 10:16pm

Seacera yakin pulih daripada status PN17

KUALA LUMPUR: Pengeluar jubin, Seacera Group Bhd yakin untuk pulih daripada status Nota Amalan (PN17) selepas Lembaga Pengarah yang baru dilantik melaksanakan pelan penyusunan semula dalam masa terdekat.

Pengarah Eksekutifnya, Shirley Tan Lee Chin, berkata tujuh pengarah dilantik pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini, termasuk beliau, dijangka mencadangkan pelbagai langkah pada mesyuarat Lembaga Pengarah pertamanya, yang dijangka diadakan dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Mereka mempunyai rancangan kepada cadangan pengumpulan dana untuk mengurangkan pinjaman bank dan menjual aset yang tidak digunakan kepada tunai untuk menjadikan syarikat lebih kukuh.

“Mengenai masa depan, terdapat perniagaan kuari yang Lembaga Pengarah baharu amat yakin dapat meningkatkan nilai syarikat dan menjana keuntungan,” katanya pada sidang media selepas EGM syarikat itu di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan mengenai pelan penyusunan semula itu akan mengambil masa kira-kira enam hingga lapan bulan sebelum menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, Tan tidak memberikan tempoh tertentu untuk pulih daripada status PN17.

“(Ini kerana) syarikat perlu menunjukkan prestasi keuntungan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua suku tahun bagi pulih daripada status PN17,” katanya.

Seacera, yang diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 bulan lepas selepas gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada AmBank Islamic Bhd dan tidak dapat memberikan pengisytiharan kesolvenan kepada Bursa Malaysia Securities.

Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM43.13 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, daripada keuntungan bersih sebanyak RM8.92 juta pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Tan berkata pengumuman mengenai pengarah urusan baharu kumpulan akan turut dibuat selepas mesyuarat Lembaga Pengarah yang pertama.

Dalam makluman kepada bursa hari ini, Seacera berkata Pengarah Urusan Kumpulannya Zulkarnin Ariffin meletak jawatan hari ini atas sebab-sebab peribadi.

Perletakan jawatan Zulkarnin dibuat sehari selepas syarikat mengumumkan Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi untuk menghalang EGM yang dicadangkan oleh Datuk Tan Wei Lian, pemegang saham tunggal terbesar yang memegang lebih 16 peratus pegangan dalam syarikat itu.

Selain Tan, ahli Lembaga Pengarah yang dilantik pada EGM hari ini ialah Rizvi Abdul Halim, Datin Ida Suzaini Abdullah, Clarence Yeow Kong Chew, Chua Eng Chin, Marzuki Hussain dan Ong Eng Taik.

Tan berkata, seramai 200 pemegang saham hadir pada EGM hari ini, dan 87 peratus mengundi untuk meluluskan semua resolusi.

– BERNAMA

217 dibaca
Berita Harian X