Rabu, 29 Mei 2019 | 1:13pm
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso (tengah) bersama Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani (kanan) serta

Bank Rakyat rangkul Anugerah CSR peringkat Asia

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat baru-baru ini mengungguli kategori Pemerkasaan Sosial di Asia Responsible Enterprise Awards 2019 (AREA 2019) yang diadakan di Taipei, Taiwan.

Pengiktirafan berkenaan adalah penghargaan terhadap pembabitan aktif Bank Rakyat bagi membantu golongan autistik di seluruh negara sejak Oktober 2016 menerusi kempen

#AnakKita.

Sepanjang tempoh dua tahun itu, 100 program telah dianjurkan bagi membantu

20,000 penghidap autisme membabitkan 90 sekolah, persatuan serta individu bagi

membantu pembangunan golongan autistik.

Sokongan untuk penghidap autisme diadakan dengan pelbagai aktiviti berterusan untuk mereka seperti Autismlympic, Terapi Bulanan, Sinar Aidilfitri Dari Hati Ke Hati dan kemuncak inisiatif untuk golongan berkenaan adalah menerusi penganjuran Anugerah Autisme Dari Hati Ke Hati yang diadakan April 2018.

Menerusi inisiatif ini, Bank Rakyat juga telah mencipta beberapa jenama yang telah dilindungi hak ciptanya seperti #AnakKita, Autismlympic, Autismpreneur, Autismazing dan Autism Buddies.

Bagi menghargai bakat insan istimewa ini, Bank Rakyat turut mengambil inisiatif menerusi cetakan korporat yang memaparkan hasil idea kreatif mereka seperti kalendar, sampul wang dan laporan tahunan yang turut memenangi Anugerah Emas menerusi kategori Laporan Tahunan Bahasa Melayu pada Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2017.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso, berkata pihaknya menghargai pengiktirafan daripada Enterprise Asia yang melihat impak positif terhadap pelaksanaan inisiatif CSR yang diusahakan oleh bank itu kepada perkembangan dan keperluan golongan autistik.

“Inisiatif CSR yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk membuat pengesanan dan intervensi awal yang dapat membantu kanak-kanak autistik mencapai tahap perkembangan optimum bagi menjadi individu yang produktif untuk keluarga, masyarakat dan negara.

“Penghargaan terhadap komitmen Bank Rakyat ini juga memberi peluang kepada kami untuk terus merancang pelaksanaan inisiatif CSR bagi menyumbang dan membina masa hadapan yang lebih baik untuk masyarakat,” katanya.

80 dibaca
Berita Harian X