Selasa, 28 Mei 2019 | 12:33pm

Saham Scomi susut selepas cadang kumpul dana

KUALA LUMPUR: Saham Scomi Group Bhd susut dua sen kepada 5.5 sen hari ini selepas mengumumkan rancangan untuk mengumpul dana RM214 juta bagi mengurangkan beban hutangnya.

Pada 11.37 pagi ini, sebanyak 22.58 juta saham kumpulan itu berpindah tangan di Bursa Malaysia.

Dalam makluman kepada bursa semalam, Scomi bercadang melaksanakan siri langkah korporat, termasuk terbitan hak selain waran percuma, penyatuan saham, penyelesaian liabiliti dan pengurangan modal saham untuk memperkukuh kedudukan kewangannya.

Kumpulan itu akan mengurangkan modalnya dalam usaha menyusutkan modal berbayar kepada RM40 juta daripada RM224.96 juta pada masa ini selain penyatuan saham pada asas empat saham digabung sebagai satu saham sebelum melaksanakan langkah terbitan hak. - BERNAMA

71 dibaca
Berita Harian X