Selasa, 21 Mei 2019 | 6:08pm
Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Corp, Amanda Lacase.

Lynas bina kemudahan pemprosesan Australia Barat

MELBOURNE: Pelombong nadir bumi, Lynas Corp mengumumkan pelan terperincinya untuk membelanjakan A$500 juta (RM1.438 bilion) dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan menubuhkan kemudahan pemprosesan di Australia Barat.

Lynas menjangkakan pelan pertumbuhannya sehingga 2025 akan membantu mengatasi krisis politik di Malaysia, yang mana lesen operasinya yang perlu diperbaharui pada September ini terancam berikutan kebimbangan mengenai pelupusan sisa pemisahan nadir bumi.

Firma itu juga akan terus melabur di kilang Malaysia dan membina kemudahan di Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada strateginya, kata pegawai kanan kenan syarikat itu pada sesi taklimat bersama pelabur.

Saham Lynas, yang ditawarkan pengambilalihan bernilai AS$1.1 bilion daripada konglomerat runcit dan bahan kimia, Wesfarmers Ltd, pada Mac lalu melonjak 16 peratus, enam bulan tertinggi di Bursa Sekuriti Australia.

“Kami yakin bahawa kerajaan (Malaysia) mahu Lynas terus beroperasi," kata Ketua Eksekutifnya, Amanda Lacase sambil menyatakan sokongan yang diterima dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta kerajaan Australia, Jepun dan AS memberikan kepentingan strategik kepada syarikat nadir bumi itu.

Pelan perbelanjaan itu dibuat susulan kebimbangan bahawa bahan buangan nadir bumi itu yang digunakan dalam segala hal bermula dari produk elektronik pengguna hinggalah bekalan peralatan ketenteraan, boleh dipengaruhi oleh pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

China menghasilkan kira-kira tiga suku daripada neodymium dan praseodymium (NdPr) di dunia, yang digunakan dalam magnet untuk motor elektrik.

-Reuters

Berita Harian X