Ahad, 19 Mei 2019 | 3:22pm

Tiada tawaran terus projek ECRL

KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dan China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCCC) menafikan melantik ejen atau pelobi bagi memudahkan proses pra-kelayakan kontraktor tempatan sebagai penender berpontensi untuk pakej kerja sivil Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Kedua-dua syarikat itu dalam kenyataan bersamanya menegaskan tiada kontrak kerja sivil ECRL akan diberikan melalui tawaran secara terus, justeru tuntutan pihak yang mengaku dijanjikan sebagai kontraktor utama projek ECRL secara tawaran terus adalah tidak benar.

Oleh itu, katanya, pihaknya mendesak kontraktor mengabaikan sebarang mesej yang mendakwa mereka menerima tawaran secara terus untuk projek ECRL serta ‘pelobi’ yang mendakwa bahawa mereka boleh membantu kontraktor mendapatkan status ‘terpilih’ untuk projek ECRL.

“Kami berharap supaya kontraktor tempatan yang menerima tawaran atau tuntutan itu dapat melaporkannya kepada pihak MRLSB dan CCCC untuk siasatan, tindakan lanjut dan tindakan undang-undang jika perlu untuk memelihara hak kami,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perjanjian Tambahan ECRL (SA) Kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan & pentauliahan (EPCC) yang ditandatangani pada 12 April lalu sudah mempersetujui penyertaan 40 peratus kontraktor tempatan.

Namun baru-baru ini, beberapa dokumen diviralkan menerusi media sosial membabitkan ejen atau pelobi menawarkan kontraktor Kelas G3-G6 peluang mengambil bahagian dalam kerja sivil projek ECRL sebagai subkontraktor.

Menerusi dokumen itu, ejen atau pelobi mendakwa wujud peluang untuk kontraktor tempatan dilantik sebagai subkontraktor projek ECRL yang akan dianugerahkan melalui tawaran terus kepada syarikat tertentu.

Mengulas lanjut, kedua-dua syarikat itu berkata, MRLSB dan CCCC kini menjalankan program Pra-Kelayakan (Pra-Q) ECRL yang membuka peluang kepada kontraktor Gred G3 hingga G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang memiliki penarafan minimum dua Bintang untuk mendaftar dan disaring sebagai penender berpotensi bagi kerja awam ECRL.

Katanya, program Pra-Q ECRL juga sudah diiklankan pada 13 dan 14 Mei lalu yang menjemput semua syarikat pembinaan dan kontraktor tempatan yang berminat untuk tender kerja awam ECRL supaya mengemukakan permohonan secara terus di kaunter CCCC, Pusat Konvensyen Sime Darby pada 29 dan 30 Mei ini.

“MRLSB dan CCCC komited memastikan amalan tadbir urus dan etika kerja yang baik dipraktikkan dalam program Pra-Q dan penilaian kontraktor tempatan, bagi menjamin hanya yang layak disenaraikan untuk proses seterusnya sebagai penender yang berpotensi.

“Kami sepakat mematuhi piawaian akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi bagi tujuan memastikan projek ECRL menjadi penanda aras amalan integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.

495 dibaca
Berita Harian X