Sabtu, 18 Mei 2019 | 12:39pm

Perangsang Selangor beli Toyoplas Manufacturing

KUALA LUMPUR: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor), menerusi anak syarikat Perangsang Dinamik Sdn Bhd, mengambil alih keseluruhan kepentingan dana firma acuan suntikan plastik bersepadu, Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd, pada pertimbangan tunai RM311.25 juta.

Kumpulan itu sudah memeterai perjanjian perkongsian jualan bersyarat dengan Toyoplas Consolidated Ltd bagi tujuan pengambilalihan itu, yang dijangka selesai pada suku ketiga 2019.

Dalam kenyataannya, Perangsang Selangor berkata perjanjian itu memerlukan undian kelulusan daripada pemegang sahamnya, yang akan dipohon pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

Pembelian syarikat pengeluar produk plastik itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi gabungan ekuiti dan pinjaman berjadual, masing-masing sebanyak RM161.25 juta dan RM150.0 juta.

Urus niaga itu adalah yang kedua bagi Perangsang Selangor, namun kemasukan lebih besar dalam perniagaan acuan suntikan plastik selepas CPI (Penang) Sdn Bhd.

“Selain pengambilalihan ini yang merangsang peningkatan nilai dan penjanaan tunai, Toyoplas Manufacturing dipilih bagi kecemerlangan kualitinya," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan.

Cadangan pengambilalihan itu dibuat berdasarkan prospek jangka panjang dalam pasaran acuan suntikan plastik global, yang bernilai AS$326 bilion (AS$1=RM4.17) pada 2018.

Peningkatan permintaan terhadap komponen plastik daripada pelbagai industri, termasuk pembungkusan, perkakasan rumah, alat automotif dan perubatan, dijangka mengekalkan pertumbuhannya.

Toyoplas Manufacturing mengendalikan operasi tujuh kilang pembuatan meliputi kawasan seluas satu juta meter persegi di tiga negara iaitu Shanghai, Dongguan dan Nanning di China; Ulu Tiram, Muar dan Senai di Malaysia; dan Jakarta di Indonesia.

Selain meningkatkan fokus perniagaan, Ahmad Fariz menegaskan pengambilalihan itu membuka potensi sepenuhnya perniagaan acuan suntikan plastik kumpulan itu.

Toyoplas Manufacturing dan anak syarikatnya mencatatkan pertumbuhan perolehan hasil stabil dengan kadar pertumbuhan majmuk tahunan 5.8 peratus antara 2015 dan 2018, dan pada masa sama meningkatkan margin keuntungannya.

Ia menutup tahun kewangan 2018 dengan perolehan sebanyak AS$109.1 juta.

Apabila pengambilalihan itu selesai, Toyoplas Manufacturing dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Perangsang Selangor mulai suku ketiga berakhir 30 September 2019 dan seterusnya.

Dalam memastikan kelancaran peralihan dengan pertukaran pemilik, Perangsang Selangor akan mengekalkan kualiti terbaik berdasarkan Toyoplas Manufacturing yang telah secara konsisten memberikan yang terbaik kepada pelanggannya selama ini.

“Pengambilalihan syarikat lebih kecil Toyoplas Manufacturing adalah contoh penting langkah kumpulan untuk mewujudkan nilai lebih baik untuk pemegang sahamnya dengan memperbesarkan asas pendapatannya, yang akhirnya akan menjana pulangan mampan dan lebih baik untuk semua pemegang sahamnya,” kata Ahmad Fariz. - BERNAMA

216 dibaca
Berita Harian X