Jumaat, 17 Mei 2019 | 3:14pm
Pengarah Urusan HPMT Holdings Bhd (HPMT) Khoo Seng Giap (dua dari kanan) pada pelancaran prospektus syarikat sempena tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Foto BERNAMA.

HPMT dijangka jana RM42.3 juta daripada IPO

KUALA LUMPUR: HPMT Holdings Bhd (HPMT) yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 12 Jun ini dijangka meraih dana RM42.3 juta menerusi tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengarah Urusannya, Khoo Seng Giap, berkata daripada dana yang bakal diraih, syarikat yang terbabit dengan pengeluaran dan pengedaran alat pemotong itu akan menggunakan RM34 juta untuk pembelian peralatan dan mesin baharu bagi mengukuhkan perniagaan yang memberi tumpuan kepada tiga pasaran utamanya iaitu Malaysia, Jerman dan China.

Katanya, baki RM2.9 juta dan RM5.4 juta yang akan diraih daripada IPO, masing-masing diperuntukkan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

“Dana yang diraih menerusi IPO sebahagian besarnya untuk pembelian peralatan dan mesin di mana kami dapat meningkatkan kapasiti kepada 40 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Buat masa ini pelanggan kami terdiri dari 30 negara di seluruh dunia. Namun, jika kapasiti kami meningkat, ia membuka ruang dan potensi kepada HPMT meneroka peluang perniagaan baharu,” katanya kepada media selepas pelancaran prospektus di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif HPMT, Khoo Yee Her; dan Ketua Pegawai Kewangan HPMT, Tan Kim Chuan.

Menerusi IPO itu, HPMT akan menerbitkan 116.6 juta saham biasa berharga 56 sen sesaham.

Daripada jumlah itu, 16.426 juta saham biasa ditawarkan kepada rakyat Malaysia, manakala 8.3 juta lagi untuk individu yang layak seperti pengarah dan pekerja HPMT serta anak syarikat yang menyumbang kepada kejayaan syarikat itu.

Sebanyak 59.04 juta saham lagi akan ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih, manakala baki 32.849 juta lagi untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ditanya mengenai kemungkinan masa penyenaraian yang kurang sesuai, Seng Giap berkata, perkara itu sudah dirancang dan perlu diteruskan meskipun keadaan pasaran saham tempatan kurang memberangsangkan ketika ini.

“Kami melihat masih ada potensi syarikat untuk berkembang dalam tempoh sukar ini. Ya, ini bukan masa sesuai kerana pasaran yang tidak menentu ketika ini. Ia di luar kemampuan kami.

“Dengan prospek jangka panjang kami, HPMT berharap IPO ini dapat membantu syarikat dalam memperkemaskan profil, imej korporat dan membuka ruang dan potensi meneroka perniagaan di seluruh dunia,” katanya.

Hong Leong Investment bank adalah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO HPMT.

141 dibaca
Berita Harian X