Jumaat, 17 Mei 2019 | 12:48pm
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran Affin Hwang AM, Chan Ai Mei.

Affin Hwang AM lancar dana pelaburan pintar

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Asset Management Bhd (Affin Hwang AM) melancarkan ‘Smart Invest Portfolio – Growth’ (Portfolio Pelaburan Pintar - Pertumbuhan), siri pertama dana caj jualan sifar yang mengetepikan caj jualan permulaan.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran Affin Hwang AM, Chan Ai Mei, berkata menerusi pelaburan minimum RM100, dana itu adalah kit permulaan yang ideal untuk pelabur baharu dan berpengalaman untuk menceburi pasaran pada kos masuk sifar.

“Melalui portfolio model dan proses pemilihan dana yang teliti, kami menggabungkan strategi dalaman dan kepakaran pelaburan terbaik di luar negara untuk memberikan pulangan yang lebih baik kepada pelabur,” katanya dalam satu kenyataan.

Dana itu adalah dana aset bercampur runcit, yang bertujuan untuk menyediakan pelabur dengan pendapatan dan pertumbuhan modal dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang melalui portfolio skim pelaburan kolektif.

Ia akan melabur sekurang-kurangnya 95 peratus daripada nilai aset bersihnya (NAV) ke dalam skim pelaburan kolektif, dan maksimum lima peratus daripada dana NAV ke dalam instrumen pasaran wang dan/atau deposit tetap untuk kecairan.

Berdasarkan portfolio model yang mengambil kira faktor prestasi, pasaran dan risiko sebelumnya, dana itu menyediakan pulangan tahunan sebanyak 7.4 peratus sejak 2017.

Tempoh masa meliputi 2017, yang juga tahun yang baik untuk pasaran, dan 2018 yang juga tahun pembetulan.

Berstruktur sebagai pelaburan pelbagai, ia adalah pendekatan menyeluruh bagi mendapatkan strategi terbaik dalam kelas yang meliputi pelbagai kelas aset, kawasan dan pengurusan.

Fi pengurusan tahunan adalah sebanyak 1.8 peratus daripada dana NAV setahun, dengan caj belian tiga peratus apabila penebusan dibuat.

-BERNAMA

146 dibaca
Berita Harian X