Jumaat, 17 Mei 2019 | 10:25am

BDB sasar kembali catat keuntungan pada 2020

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB) mensasarkan untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2020 selepas mengalami kerugian pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faris Najihan Hashim, berkata ini akan didorong permintaan lebih kukuh dalam projek infrastruktur, dan pembangunan perumahan.

"Pendapatan kami 70 peratus didorong oleh projek infrastruktur, dalam dan luar Kedah," katanya selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara BDB dan Koperasi Telekom Malaysia Bhd (Kota Mas) di sini semalam.

MoU itu dimeterai Faris bagi pihak BDB manakala Kota Mas diwakili Naib Pengerusinya, Bistamam Mohd Zainal.

Bagi tahun kewangan 2018 berakhir 31 Disember 2018, BDB mencatatkan kerugian bersih RM15.57 juta berbanding kerugian bersih RM14.85 juta dalam tempoh sama sebelum ini.

Faris optimis syarikat itu akan dapat mengurangkan kerugiannya pada tahun kewangan semasa (tahun kewangan 2019).

Beliau berkata, syarikat itu turut merancang untuk meraih lebih banyak projek infrastruktur, selain meningkatkan segmen hartanahnya.

"Kebanyakan rumah kami adalah rumah mampu milik, di bawah RM300,000, bagaimanapun bagi rumah melebihi jumlah itu, kami bekerjasama dengan pemaju lain," katanya.

Sementara itu, MoU itu mensasarkan untuk menjual lebih 270 unit rumah bernilai hampir RM60 juta di Bandar Darulaman, Jitra dan Darulaman Perdana, Sungai Petani.

Ia juga bertujuan meninjau peluang untuk membangun, menyokong dan memanfaatkan ahli Kota Mas dari segi pemilikan hartanah untuk membantu mereka membeli rumah yang akan dibangunkan oleh BDB di wilayah utara. - BERNAMA

138 dibaca
Berita Harian X