Khamis, 16 Mei 2019 | 8:22pm

Untung bersih Pharmaniaga meningkat

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu RM19.62 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM17.59 juta tempoh yang sama tahun lalu.

Perolehan meningkat 27.2 peratus kepada RM786.11 juta daripada RM617.92 juta bagi tempoh yang sama.

Prestasi perolehan itu didorong peningkatan permintaan daripada hospital kerajaan dan swasta di Malaysia serta Indonesia.

“Prospek bagi Pharmaniaga kekal cerah, memandangkan syarikat ini memanfaatkan asas kukuhnya untuk mengembangkan perniagaan konsesi dan bukan konsesi,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Pharmaniaga menyasar untuk memperkukuh kedudukan pasaran dalam sektor swasta menerusi inisiatif pemasaran strategik.

“Kami juga menumpukan langkah pengukuhan operasi Indonesia dengan memanfaatkan potensi luas pasaran ini.

“Melangkah kehadapan, Pharmaniaga akan terus mencari peluang dalam sektor penjagaan kesihatan di dalam pasaran domestik dan antarabangsa untuk mencapai pertumbuhan mampan bagi jangka panjang,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X