Khamis, 16 Mei 2019 | 8:10pm

PCG ambil alih syarikat Belanda

KUALA LUMPUR: PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG), memeterai perjanjian jual beli bagi mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam Da Vinci Group B.V. (Da Vinci).

Da Vinci adalah syarikat liabiliti terhad swasta, yang diperbadankan di Belanda dengan operasi global membabitkan jualan semula jenama sendiri, mencipta dan mengeluarkan silikon, bahan tambahan minyak pelincir serta bahan kimia.

Penyelesaian pengambilalihan itu tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat tertentu.

Pengambilalihan itu adalah yang pertama bagi PCG dalam perniagaan bahan kimia khusus melalui pertumbuhan bukan organik.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah, berkata pihaknya baru-baru ini mengumumkan langkah peningkatan seterusnya dengan memberi tumpuan kepada kedudukan strategik masa depan dalam menceburi bidang derivatif dan bahan kimia khusus.

“Pengambilalihan itu merupakan titik permulaan langkah strategik kami untuk portfolio bahan kimia khusus PCG.

“Pengambilalihan itu mempercepatkan lagi visi PCG mencipta nilai dengan mempelbagaikan portfolio produknya ke dalam bahan kimia yang berbeza dan khusus.

“Da Vinci menyediakan akses menarik ke dalam perniagaan silikon yang semakin meningkat. Pengambilalihan itu membolehkan PCG meningkatkan kedudukan persaingannya dalam pasaran akhir seperti penjagaan peribadi, pembinaan, cat dan pelapis, elektronik, automotif serta penjagaan kesihatan, khususnya di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Sazali berkata, setelah selesai pengambilalihan itu, Da Vinci akan menjadi anak syarikat milik penuh PCG.

142 dibaca
Berita Harian X