Khamis, 16 Mei 2019 | 6:01pm

SunCon capai 67 peratus sasaran kontrak

KUALA LUMPUR: Sunway Construction Group Bhd (SunCon) memperoleh 67 peratus daripada sasaran kontrak dalam tangan bernilai RM1.5 bilion pada suku pertama 2019, sekali gus menjadikan jumlah kontrak dimilikinya kepada RM5.7 bilion.

Perolehan kontrak dalam tangan itu memberikan SunCon unjuran pendapatan yang positif bagi tempoh dua tahun akan datang.

Daripada projek bernilai RM1 bilion yang diperolehinya itu, 10 peratus daripada tempahan kontrak baharu itu adalah dari syarikat induknya, Sunway Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan SunCon, Chung Soo Kiong, berkata pihaknya yakin dapat mengekalkan prestasi memberangsangkannya itu sepanjang tahun dan memenuhi sasaran tempahan kontrak.

“Kami optimis melalui beberapa strategi pengembangan kami ke ASEAN dan India serta prospek perancangan yang baik dari Sunway Bhd dalam sektor penjagaan kesihatannya.

“Kami telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Capital Diamond Star Group pada April lalu di Myanmar bagi mengemukakan tender untuk tiga projek kereta api dan jalan di India, dan memberi tumpuan di Singapura.

“Dengan prospek ini, kami melihat untuk mengurangkan kesan tempoh kajian semula semasa industri tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi suku pertama 2019 yang berakhir 31 Mac lalu, SunCon merekodkan pendapatan sebanyak RM440 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM40.1 juta.

65 dibaca
Berita Harian X