Isnin, 13 Mei 2019 | 4:07pm

Pemilik Tealive rancang senarai syarikat di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Loob Holding Sdn Bhd, yang memiliki jenama teh Tealive merancang tawaran awam permulaan (IPO) yang akan menjana sehingga RM300 juta, demikian menurut individu yang rapat dengan perkembangan itu.

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata, syarikat beribu pejabat di Kuala Lumpur itu juga sudah melantik penasihat bagi penjualan saham yang dirancang.

Katanya, Loob sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan penilaian sebanyak RM1 bilion dan menyasarkan penyenaraian pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo mengesahkan syarikatnya merancang untuk disenaraikan pada separuh pertama 2020.

“Kami telah melantik penasihat korporat untuk proses ini. Kami tidak dapat mengesahkan penilaian yang diminta atau IPO, masih menunggu cadangan akhir daripada penasihat kami,” katanya dalam jawapan kepada pertanyaan Bloomberg.

Malaysia menyaksikan penjualan sebanyak AS$9.4 juta saham kali pertama setakat tahun ini, jauh lebih rendah daripada AS$47.8 juta tempoh sama tahun lalu, menurut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Pasaran IPO negara menjangkakan kenaikan harga bulan ini daripada tawaran AS$250 juta oleh Leong Hup International Bhd dan beberapa pemegang saham sedia ada.

Loob Holding akan menyertai syarikat lain seperti pengendali rangkaian makanan segera KFC, QSR Malaysia (M) Holdings Bhd dan Mr D.I.Y. disenaraikan di Bursa Malaysia.

Rundingan pelan IPO Loob Holding’s masih di peringkat awal dan mungkin tidak membawa kepada perjanjian, kata sumber.

Loob Holding, yang memiliki jenama makanan dan minuman lain seperti Ko Ko Kai dan Define Food, mengendalikan lebih daripada 200 cawangan di Malaysia, menurut kenyataan syarikat itu pada Mac lalu.

Ia juga mempunyai cawangan di China, Vietnam dan Australia.

-Bloomberg

140 dibaca
Berita Harian X