Jumaat, 10 Mei 2019 | 4:55pm
PENGARAH Urusan Kumpulan Media Prima Bhd , Datuk Kamal Khalid. - Foto Eizairi Shamsudin.

Perniagaan digital, dagangan pacu Media Prima

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen perniagaan digital dan dagangan bagi mengimbangi penurunan dalam pendapatan tradisional.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Kamal Khalid, berkata keputusan tahun kewangan 2018 adalah petunjuk baik kumpulan media bersepadu terbesar tempatan itu berada dalam landasan yang betul melalui strategi transformasinya.

“CJ WOW SHOP berjaya mencatat kemajuan yang membanggakan dan kami yakin, namun pada masa yang sama berhati-hati bahawa segmen ini akan meraih pulangan modal pada tahun ini.

“Kami menyasarkan peningkatan dalam sumbangan pendapatan digital kepada kumpulan sebanyak 20 peratus dengan mengambil peluang terhadap capaian pelanggan digital yang besar di seluruh

platform.

“Kami juga yakin mampu mencapai sasaran ini berdasarkan peningkatan sumbangan digital kepada kumpulan bagi tahun kewangan 2018,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Media Prima di sini, hari ini.

Pada AGM itu, Media Prima mengumumkan bahawa prestasi lebih baik dicatatkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 adalah bukti kepada perjalanan transformasi kumpulan yang memfokuskan kepada kepelbagaian pendapatan yang kini membuahkan hasıl.

Media Prima merekodkan pendapatan bersih RM1.2 bilion yang mewakili penurunan marginal dalam tahun kewangan 2018, mengambil kira keadaan ekonomi yang sukar, berbanding penurunan tujuh peratus bagi tahun kewangan 2017.

Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai RM59 juta bagi tahun kewangan 2018, berbanding kerugian sebanyak RM669.7 juta pada tahun kewangan 2017.

Ini didorong oleh pendapatan bersih bayaran sekali saja item berjumlah RM159.7 juta, yang kebanyakannya diperoleh daripada penjualan hartanah dan syarikat sekutu.

Jika dikecualikan daripada item bayaran sekali, kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai

rendah dalam tahun kewangan 2018 sebanyak 42 peratus berbanding tahun tahun sebelumnya.

Bagi tahun dikaji, pertumbuhan pendapatan baharu berkembang daripada 14 peratus kepada 25 peratus yang mewakili suku daripada jumlah keseluruhan pendapatannya pada tahun kewangan 2018.

Dalam segmen digital, kumpulan mencapai satu kejayaan penting apabila menjadi pilihan utama

kandungan mudah alih di Malaysia mendahului Google dan Facebook.

Pendapatan digital kumpulan meningkat kepada RM87.9 juta dalam tahun kewangan 2018 daripada RM41.5 juta pada tahun kewangan 2017.

Bagi segmen dagangan, segmen beli belah di rumah Media Prima, CJ WOW SHOP, menjana jualan keseluruhan RM213.1 juta dalam tahun kewangan 2018, meningkat sebanyak 65 peratus daripada RM129.5 juta tahun sebelumnya.

Berita Harian X