Selasa, 30 April 2019 | 3:57pm
YEW HOE (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan Fraser & Neave Holdings Berhad, Lai Kah Shen menunjukkan produk baru keluaran F&N selepas mengemukakan laporan separuh pertama berakhir 31 Mac 2019 di Hiotel Sheraton Petaling Jaya. - Foto Nik Hariff Hassan

F&N sedia hadapi cukai gula, kenaikan harga pilihan akhir

PETALING JAYA: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bersedia untuk melaksanakan cukai gula yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata walaupun ia satu cabaran besar bagi syarikat memandangkan 90 peratus daripada portofolio produknya akan terjejas oleh cukai berkenaan, F&N yakin mampu membendung impaknya ke atas kebanyakan kategori yang terbabit dan mengurangkan kesan ke atas syarikat.

“Daripada 90 peratus daripada produk F&N, 70 peratus boleh diformulasikan semula tetapi ia akan membabitkan kos tambahan.

“Masih terdapat beberapa varian yang kami sedang cuba. Kami akan melihat berapa banyak kos yang boleh diserap. Kenaikan harga hanya akan menjadi pilihan terakhir,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan separuh pertama F&N, di sini, hari ini.

Yew Hoe berkata, tiga hala tuju umum akan diambil oleh syarikat itu untuk mengurangkan impak cukai gula, iaitu menyediakan resipi asal dalam saiz pek yang lebih kecil, mengurangkan resipi gula, dan transformasi portfolio menerusi inovasi ke dalam kategori produk kesihatan.

Beliau berkata, F&N telah melabur sebanyak RM30 juta dalam perbelanjaan modal di kilangnya di Shah Alam bagi membolehkan pengeluaran beberapa produk mulai Oktober ini.

Kerajaan menangguh pelaksanaan duti eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula dari 1 April 2019 yang ditetapkan sebelum ini, kepada 1 Julai 2019.

Sementara itu, mengenai prospek perniagaan di Malaysia, Yew Hoe berkata syarikat itu akan terus mengeluarkan minuman ringan isotonik dan berkarbonat termasuk 100PLUS dan F&N Laici Pir yang baharu dan pada masa yang sama memberi pilihan lebih sihat kepada pelanggannya.

Di peringkat serantau, beliau berkata, prospek bagi pasaran Thailand dijangkakan lebih baik berikutan peningkatan dalam segmen susu pekat manis dan tidak manis

F&N juga sedang memperluaskan pasaran eksportnya di Nepal dan Perancis, katanya.

“Bulan depan, kami berharap dapat mencapai perjanjian bagi membolehkan pengedaran produk di Nepal, manakala untuk Perancis, ia tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat ini kerana kami masih sedang membina pasaran di sana,” katanya.

-BERNAMA

198 dibaca
Berita Harian X