Jumaat, 26 April 2019 | 9:34pm
PENGARAH Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar. - Foto BERNAMA

DRB-HICOM jual 11 peratus kepentingan dalam Modenas kepada Kawasaki

KUALA LUMPUR: DRB-HICOM Bhd menjual 11 peratus kepentingan dalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) kepada Kawasaki Heavy Industries Ltd (KHI) dengan nilai RM40.3 juta untuk membolehkan syarikat dari Jepun itu mempunyai tahap penyertaan yang lebih tinggi dalam pengurusan Modenas.

Cadangan penjualan itu akan meningkatkan kepentingan ekuiti KHI dalam syarikat motosikal nasional itu kepada 30 peratus, menurut Modenas dalam kenyataan hari ini.

“KHI turut melanggan 52 juta saham keutamaan boleh tukar (CPS) yang akan dikeluarkan oleh Modenas. Selepas ditukar, kepentingan KHI dalam syarikat itu akan meningkat kepada 48 peratus,” katanya, sambil menambah penukaran itu akan tertakluk kepada Modenas mencapai pencapaian strategik yang dipersetujui antara pihak-pihak yang berkenaan.

Kepentingan ekuiti DRB-HICOM akan merosot kepada 52 peratus berikutan pertukaran CPS.

Saham KHI yang lebih besar dalam Modenas akan menyaksikan syarikat itu mengambil bahagian secara aktif dalam operasi Modenas, kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar.

“Saya percaya ia akan meningkatkan fasa produk yang didorong pelanggan itu untuk Modenas, terutamanya dalam segmen ‘street bike’ dan ‘sports bike’,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 1960, Kawasaki telah berkembang menjadi pengeluar motosikal global yang utama, dengan kilang di Amerika Syarikat, Filipina, India, Thailand dan Indonesia, selain Jepun.

Rangkaian produk paling popular syarikat itu termasuklah Ninja, Versys dan GTR. - BERNAMA

615 dibaca
Berita Harian X