Selasa, 23 April 2019 | 6:31pm

Pharmaniaga sedia belanja modal RM174 juta bagi R&D

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd memperuntukkan perbelanjaan modal lebih tinggi berjumlah RM174 juta pada tahun ini dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), penggudangan dan robotik, kata Pengarah Urusannya, Datuk Farshila Emran.

Beliau berkata, syarikat itu hanya memperuntukkan RM30 juta untuk perbelanjaan modalnya pada tahun lalu.

Menurutnya, pada masa depan, syarikat farmaseutikal itu berhasrat mengembangkan portfolio produknya dan meneroka peluang lebih berdaya maju untuk syarikat itu.

Ini termasuk menceburi industri peranti perubatan dan bidang baharu dalam onkologi dan vaksin bagi memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat dalam segmen itu.

Pada Disember 2017, Pharmaniaga memeterai memorandum kerjasama dengan Technology Depository Agency Bhd, entiti di bawah Kementerian Kewangan dan MSD Wellcome Trust Hilleman Laboratories Pte Ltd di India untuk membangunkan dan membina kilang vaksin halal. Perjanjian dua tahun itu akan berkuat kuasa sehingga Disember tahun ini.

“Kami mempunyai peruntukan, namun, apabila melibatkan syarikat farmaseutikal, anda tidak boleh membina kilang. (Pertama sekali) anda perlu mendapat kelulusan dan menghantar pelan. Ini adalah sesuatu yang dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.

Bagi unjuran tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, beliau berkata syarikat itu yakin prestasi kewangannya akan meningkat.

Keuntungan sebelum cukai Pharmaniaga merosot empat peratus kepada RM70.2 juta pada perolehan RM2.4 bilion bagi tahun kewangan 2018.

“Pada 2018, kos pembiayaan dan pinjaman kami adalah tinggi dan berlaku masalah dalam sistem ePerolehan, menyebabkan adanya masalah kutipan daripada kerajaan. Namun, ia berjaya diselesaikan pada akhir 2018,” katanya.

Menurut laporan tahunan Pharmaniaga yang terkini, nisbah tahap kadar hutang syarikat itu meningkat kepada 1.3 kali pada 2018 berbanding 0.8 kali pada tahun sebelumnya, terutama disebabkan gangguan sistem perolehan kerajaan yang mengakibatkan kelewatan pembayaran. -BERNAMA

-

Berita Harian X