Selasa, 23 April 2019 | 1:04pm

Urus niaga PDT, IDSS saham Ekovest dan IWCity digantung

KUALA LUMPUR: Urus niaga harian proprietari (PDT) dan jualan singkat intrahari (IDSS) saham Ekovest Bhd serta Iskandar Waterfront City Bhd (IWC) digantung untuk baki hari ini berikutan harga dagangan awal yang diluluskan susut lebih 15 peratus.

Saham Ekovest merosot 18 sen atau 18.6 peratus kepada paras terendahnya pada 79 sen pagi tadi.

Harga dagangan terakhirnya adalah pada 84.5 sen sebelum penggantungan, selepas sejumlah 131.65 juta saham didagangkan.

Sementara itu, IWCity menyaksikan kejatuhan harga saham sebanyak 23 sen atau 17.4 peratus kepada RM1.09. Harga terakhir adalah pada RM1.15, turun 17 sen atau 12.9 peratus dengan jumlah dagangan sebanyak 115.59 juta.

Bursa Securities berkata, jualan pendek di bawah PDT dan IDSS hanya akan diaktifkan pada jam 8.30 pagi, 24 April 2019.

Semalam, IWC dan Ekovest, dua syarikat senaraian awam yang dikawal oleh Tan Sri Lim Kang Hoo menegaskan tidak terbabit dalam projek Bandar Malaysia yang diteruskan semula.

Kenyataan dikeluarkan selepas saham kedua-dua syarikat melonjak ke paras harian maksimum yang dibenarkan.

Kedua-dua syarikat dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, mereka tidak menyedari sebab kenaikan harga saham masing-masing ketika itu.

Mereka menasihatkan pelabur supaya menggunakan pendekatan berhati-hati semasa berurus niaga saham.

Berita Harian X