Isnin, 22 April 2019 | 9:36pm
IWCity, Ekovest menegaskan tidak terbabit dalam projek Bandar Malaysia yang diteruskan semula.

IWCity, Ekovest nafi terbabit projek Bandar Malaysia

KUALA LUMPUR: Iskandar Waterfront City Bhd (IWCity) dan Ekovest Bhd, dua syarikat senaraian awam yang dikawal oleh Tan Sri Lim Kang Hoo menegaskan tidak terbabit dalam projek Bandar Malaysia yang diteruskan semula.

Kenyataan dikeluarkan selepas saham kedua-dua syarikat melonjak ke paras harian maksimum yang dibenarkan hari ini.

Kedua-dua syarikat dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, mereka tidak menyedari sebab kenaikan harga saham masing-masing ketika ini.

Mereka menasihatkan pelabur supaya menggunakan pendekatan berhati-hati semasa berurus niaga saham.

“Selain kenyataan akhbar dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada 19 April bertajuk “Kerajaan akan memulakan semula projek Bandar Malaysia”, yang mana nama syarikat sekutu kami, IWH-CREC Sdn Bhd disebut, syarikat mahu menjelaskan bahawa IWCity tidak terbabit dalam projek pembangunan semula Bandar Malaysia,” katanya.

Saham Ekovest melonjak 30 sen, atau 45 peratus lebih tinggi untuk ditutup pada 97 sen dengan lebih 282 juta saham diniagakan.

Saham IWCity menokok 30 sen, atau 29 peratus untuk ditutup pada RM1.32.

Saham kedua-dua syarikat pembinaan itu mendahului kenaikan saham pembinaan tempatan selepas kerajaan melaksanakan semula projek hartanah dan pengangkutan itu yang bernilai RM140 bilion.

Berita Harian X