Isnin, 22 April 2019 | 8:58pm

Seacera tubuh JV bangun projek GDV RM10 bilion

KUALA LUMPUR: Pengeluar jubin, Seacera Group Bhd menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) dengan pemaju hartanah, OCR Group Bhd untuk melaksanakan projek pembangunan bercampur ke atas tanah pegangan bebas berkeluasan 203 hektar di Semenyih dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM10 bilion.

Seacera dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata keputusan lembaga syarikat untuk mencairkan tanah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha bagi memulihkan kedudukan kewangan kumpulan.

Datuk William Tan Wei Lian, pemegang saham terbesar Seacera dengan kepentingan sebanyak 16.36 peratus, telah berjanji pada minggu lalu untuk melabur RM30 juta atau lebih dalam Seacera bagi menyelesaikan aliran tunai dan liabiliti kredit syarikat, "jika perlu".

Beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis lalu, turut menafikan bahawa syarikat berkenaan akan melaksanakan dua cadangan iaitu permodalan dan penempatan persendirian untuk mengelakkan "keadaan kewangan yang kritikal".

Beliau menegaskan Seacera masih memiliki tanah seluas 203 hektar di Semenyih yang bernilai RM784 juta serta aset bersih berjumlah kira-kira RM838 juta pada 31 Disember 2018.

Anak syarikat milik penuh Seacera, Duta Skyline Sdn Bhd hari ini telah menandatangani satu perjanjian JV dengan anak syarikat milik 100 peratus OCR Group, Amazing Symphony Sdn Bhd bagi membangunkan komponen kediaman bertanah, kedai komersil dan pembangunan strata bertingkat tinggi di atas tanah itu.

Projek itu dijangka akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh sehingga 30 tahun.

Menurut Seacera, Duta Skyline akan memiliki 22 peratus daripada GDV dalam semua pembangunan hartanah bertingkat rendah dan 18 peratus daripada GDV dalam semua pembangunan strata bertingkat tinggi.

Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) untuk mengundi cadangan permodalan dan penempatan persendirian pada Khamis lepas telah ditangguh berikutan perintah mahkamah.

Dalam kenyataan beliau pada minggu lalu, Wei Lian berkata, pemegang saham yang hadir berkeras mahu meneruskan EGM itu dan para pemenang saham yang meewakili lebih daripada 50 peratus modal berbayar dalam Seacera mengundi untuk menolak kedua-dua resolusi.

Seacera dalam satu makluman berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini, menjelaskan Wei Lian tidak memaklumkan kepada pengurusan atau lembaga pengarah Seacera mengenai cadangan untuk menyuntik RM30 juta atau lebih ke dalam syarikat.

"Tanpa sebarang maklumat lanjut, syarikat tidak dapat menilai jika usul tersebut (jika ada) adalah berdaya maju dan cukup komprehensif untuk menangani kebimbangan kewangan semasa Seacera. Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan cadangan itu, syarikat akan menuntut pemegang saham terbabit untuk menyediakan bukti bagi pembiayaan bagi tujuan pengesahan sebelum lembaga pengarah membentangkan usul berkenaan kepada para pemegang saham untuk diluluskan," kata syarikat itu lagi.

Urus niaga dalam sekuriti Seacera telah dihentikan mulai 4.31 petang hari ini, dengan saham-sahamnya didagangkan pada harga 32.5 sen atau setengah sen lebih tinggi daripada nilai yang direkodkan semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Transaksi akan dibuka semula pada 9 pagi esok.

-BERNAMA

Berita Harian X