Selasa, 16 April 2019 | 4:17pm
Pengerusi Eksekutif Brahim's Holdings, Datuk Seri Ibrahim Ahmad. NSTP/Luqman Hakim Zubir.

Brahim's sasar pendapatan perniagaan bukan penerbangan meningkat

SEPANG: Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd (BSFS), anak syarikat Brahim's Holdings Bhd, mengunjurkan peningkatan sekali ganda pendapatan daripada perniagaan bukan penerbangan kepada syarikat itu dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutif Brahim's Holdings, Datuk Seri Ibrahim Ahmad, berkata ketika ini segmen perniagaan itu hanya menyumbang sebahagian kecil kepada pendapatan BSFS iaitu sekitar satu hingga dua peratus.

Katanya, sasaran bersandarkan kepada operasi pengembangan perniagaan bukan penerbangan yang baru dimulakan dan memerlukan masa untuk membolehkannya mencatat pertumbuhan.

"Kami jangkakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, segmen perniagaan baharu ini mampu berkembang sehingga dua kali ganda, sekali gus meningkatkan sumbangan kepada pendapatan syarikat sehingga empat peratus.

"Perniagaan bukan penerbangan bukan sesuatu yang mudah untuk dimulakan dan kemudian mengharapkan untuknya terus mencapai tahap perkembangan yang optimum, ia mengambil masa yang lama untuk matang.

"Kita sudah (bekal makanan kepada) KTM dan (restoran) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang mana ini adalah antara usaha syarikat untuk mempelbagaikan perniagaan dan sumber pendapatannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi lawatan ke kemudahan mesin pencucian sertu di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, media dibawa melawat kemudahan milik BSFS berkeluasan 635,070 kaki persegi terdiri daripada pengeluaran, peralatan dan pencucian, gudang dan inventori serta pentadbiran.

Syarikat itu kini memiliki sembilan mesin cucian untuk mencuci kart, peralatan makanan dan pinggan mangkuk, dengan tujuh daripadanya dilengkapi kemudahan sertu bagi memastikan semua peralatan yang dicuci dijamin halal untuk digunakan.

Mesin sertu itu mampu mencuci sehingga 500,000 peralatan makanan dan pinggan mangkuk sehari membabitkan 32 syarikat penerbangan antarabangsa.

Ditanya sama ada BSFS berhasrat untuk membekalkan makanan kepada Amal milik Malaysia Airlines Bhd, Ibrahim berkata, syarikat sudah menghantar cadangan untuk dipertimbangkan syarikat penerbangan berkenaan.

"Syarikat ketika ini sudah pun membekalkan makanan untuk pesawat carter Malaysia Airlines, tetapi kita berharap untuk mendapat kontrak projek Amal ini juga.

"Ini kerana, projek Amal ialah untuk menghantar penumpang mengerjakan umrah dan haji di Makkah. Maka, sudah tentu penumpang mahu memastikan tiada unsur kompromi termasuk memastikan makanan yang ditawarkan adalah halal.

"Maka di sini kelebihan Brahim’s kerana selain menawarkan makanan halal, kami juga memastikan semua peralatan seperti peralatan makanan dan pinggan mangkuk juga adalah halal apabila dicuci mengikut patuh Syariah menggunakan mesin cucian sertu," katanya.

Berita Harian X