Khamis, 11 April 2019 | 4:21pm
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus dan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani bertukar-tukar MoU bagi menyediakan akses kewangan kira-kira RM517 juta kepada PKS. NSTP/Amirudin Sahib.

MIDF, MTDC sedia akses kewangan RM517 juta

KUALA LUMPUR: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menyediakan akses kewangan kira-kira RM517 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menceburi revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).   

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani, berkata setakat 31 Mac 2019, ia telah meluluskan lebih kurang RM2.2 bilion pinjaman di bawah Skim Pinjaman Mudah bagi Automasi dan Modenisasi (SLSAM).  

Katanya, SLSAM diperkenalkan pada tahun 2007 dan sudah memberi manfaat kepada 569 syarikat di seluruh Malaysia.  

"Melalui MoU ini, MIDF sentiasa berusaha dan memberi komitmen kepada syarikat yang berada dalam ekosistem MTDC bagi meningkatkan keupayaan dan menambah baik perkhidmatan serta infrastruktur pembuatan untuk pertumbuhan produktiviti," katanya pada sidang media pada majlis menandatangani MoU bersama MTDC di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus dan Pengerusi Kumpulan MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

Selain SLSAM, MIDF turut menawarkan Skim Pinjaman Mudah bagi sektor perkhidmatan (SLSSS) dan Skim Pinjaman Mudah bagi perkhidmatan pembangunan kapasiti (SLSCD).

Sejak ditubuhkan pada 1960, MIDF telah meluluskan pinjaman berjumlah RM14.8 bilion yang memberi manfaat kepada 10,961 syarikat tempatan.

Sementara itu, Norhalim berkata MTDC akan mengenal pasti PKS yang berpotensi dan mempunyai barisan produk selari dengan revolusi industri 4.0 serta bekerjasama dengan MIDF dalam menyediakan kewangan dan khidmat nasihat kepada PKS.

"MTDC berharap kerjasama ini akan berterusan dan memberi lebih banyak manfaat serta platform yang membolehkan PKS mengadaptasi industri 4.0.

"PKS yang mempunyai pertanyaan boleh mendapatkan khidmat nasihat MTDC dan bersedia membantu mereka terutama dari segi pembangunan teknologi, serta berkongsi kepakaran dan penyelesaian yang kami ada," katanya.

Menerusi MoU ini juga, MTDC dan MIDF akan membangunkan program serta inisiatif bagi mempertingkatkan kemahiran dan pembangunan di kalangan PKS tempatan.

Berita Harian X