Rabu, 10 April 2019 | 3:45pm

Anak syarikat LKL tubuh JV agih produk perubatan

KUALA LUMPUR: Medik Gen Sdn Bhd (MGen), anak syarikat LKL International Bhd telah memeterai perjanjian dengan Agrow Corporation Sdn Bhd bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) untuk tujuan pengagihan produk perubatan di Malaysia.

LKL International adalah pembekal aksesori, peralatan dan katil perubatan/kesihatan yang terkemuka.

MGen akan melabur sebanyak RM250,000 untuk mendapatkan 50 peratus kepentingan dalam JV itu, manakala LKL Agrow Healthtech Sdn Bhd dengan Agrow memegang baki 50 peratus.

"Usaha sama ini adalah senario menang-menang bagi LKL dan Agrow kerana kami sentiasa berazam untuk membabitkan lebih banyak jenama penjagaan kesihatan antarabangsa ke dalam portfolio produk kami," kata Pengarah Urusan LKL, Lim Kon Lian dalam satu kenyataan, hari ini.

JV berkenaan akan membolehkan usaha pengedaran produk perubatan yang diimport, penjagaan sistem panggilan penjaga, penyelesaian bilik bersih, penyelesaian digital, sistem pemantauan dan pembersih udara.

Di bawah syarat-syarat perjanjian itu, MGen adalah bertanggungjawab dalam pemasaran, promosi dan pengedaran produk bagi menembusi sektor perubatan dan penjagaan kesihatan, manakala Agrow memberi tumpuan ke atas pasaran komersil dan kehidupan orang-orang tua.

Agrow juga bertanggungjawab untuk mencari dan memperolehi produk-produk baharu untuk LKL Agrow Healthtech, katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X