Selasa, 9 April 2019 | 8:03pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua dari kiri) bersama Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt (kiri) menyampaikan anugerah kepada Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin (tengah) pada majlis penyampaian Anugerah SME CGC ke-24. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman.

CGC dalam landasan capai sasaran bantu PKS

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) berada dalam landasan untuk mencapai sasaran meluluskan RM4.6 bilion jaminan dan pembiayaan yang akan memanfaatkan 9,800 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata pada tahun lalu, CGC menjamin dan membiayai sebanyak RM3.7 bilion dengan 9,000 PKS mendapat manfaatnya.

Beliau berkata, setakat ini RM1 bilion jaminan diluluskan CGC dengan lebih 2,000 PKS memperoleh manfaat.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran jaminan yang ditetapkan tahun ini. Kami percaya tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah SME CGC ke-24 di sini, hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Terdahulu, Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt berkata, CGC meluluskan lebih 460,000 jaminan dan pembiayaan bernilai lebih RM70 bilion sejak 47 tahun lalu dengan lebih 330,000 PKS mendapat manfaatnya.

Beliau berkata, setakat ini, CGC melancarkan 102 peringkat jaminan portfolio berjumlah RM12.2 bilion yang memanfaatkan kira-kira 25,000 PKS.

Katanya, CGC juga mempunyai enam peringkat jaminan borong bernilai RM1.5 bilion untuk 7,700 PKS.

Pada majlis penyampaian anugerah itu, sebanyak 15 anugerah disampaikan kepada PKS CGC yang mencatatkan prestasi terbaik mengikut tiga kategori iaitu Pelanggan Lepasan CGC; Pelanggan dengan Penarafan Kredit Lebih Baik dan Pelanggan Contoh Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i).

Ambank (M) Bhd (Ambank), Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dan Malayan Banking Bhd (Maybank) adalah penerima Anugerah Rakan Institusi Kewangan (FI) Terkemuka bagi kategori komersial.

CIMB Islamic Bank Bhd memperoleh Anugerah Rakan FI 2018 bagi kategori perbankan Islam sementara AmBank memenangi Anugerah FI Terkemuka bagi kategori Bumiputera.

Berita Harian X